Jangan Jadi Rakyat Yang Bodoh Membabitkan Pergaduhan Kaum Pada Hari Malaysia

Oleh Kuli Siber

 

Kenapa berkehendakkan sangat untuk menghasut orang ramai adanya berlaku keganasan kaum ?

Apa yang anda dapat dalam mengadu domba di media sosial baharu yang kononnya berlaku keganasan kaum dan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September depan ?

Adakah anda yang memfitnah ini tidak ada langsung perasaan untuk melihat keadaan negara Malaysia yang terus makmur, aman dan damai tiba-tiba menjadi huru-hara ?

Kuli Siber melihat adanya satu kepelikan segelintir rakyat Malaysia yang beria-ria benar hendak melihat negara ini kucar-kacir. Hairan mengapa masih ada rakyat negara ini yang meramalkan perkara-perkara yang negatif.

Apakah si tohmahan ini memahami erti keamanan ?

Apatah lagi yang diramalkan itu berlaku pada Hari Malaysia. Adakah si tohmahan ini memahami atau tidak peristiwa Hari Malaysia itu ?

Kuli Siber tidak mahu menerangkan panjang lebar erti keamanan mahu pun Hari Malaysia, kerana cukup yakin setiap warga Malaysia yang melalui proses pembelajaran dan pengajaran dalam sistem pendidikan nasional selama berbelas tahun di sekolah rendah dan sekolah menengah sehingga mereka yang memasuki ke peringkat universiti, sudah tentu memahaminya.

Soalnya sekarang ada rakyat Malaysia yang masih ada jiwa yang kacau.

Jiwa yang suka memfitnah datangnya dari titik hitam hasad yang terpalit dalam hatinya.

Peristiwa pertama membabitkan hasad berlaku sewaktu Iblis tidak senang dengan Nabi Adam di langit.

Peristiwa pertama hasad yang berlaku di dunia pula membabitkan dalam kalangan anak-anak Nabi Adam pula.

Walaupun kita mengetahui sejarah hasad itu mempunyai bahaya yang cukup besar, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang punya celik pendidikan yang tinggi di samping umat Islam di negara ini yang berpegang kepada al-Quran dan Hadis, sudah tentu soal hasad itu boleh dielakkan.

Memang tidak cerdik segelintir rakyat Malaysia yang masih memfitnah ini.

Kuli Siber memuji Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menafikan khabar angin kononnya keganasan kaum akan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September depan.

Dalam hal ini, PDRM memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan berbaur hasutan dan penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Perlu siasat segera dan tangkap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kuli Siber juga terikat dengan akta-akta sedia ada tetapi kita diberikan kebebasan untuk bersuara dan mengeluarkan pandangan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

Kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Datin Asmawati Ahmad, PDRM ingin menegaskan bahawa mesej itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Tindakan itu dilihat atas tujuan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat ketenteraman awam,” kata Asmawati dalam kenyataan hari ini.

Khabar angin itu, yang disebar melalui media sosial, turut meminta orang bukan Melayu supaya menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain bagi menghadapi kejadian yang dikatakan akan berlaku pada 16 September itu.

Dulu-dulu pun pada sekitar 1987, Kuli Siber pernah mengalami situasi yang sama di mana ibu juga tiba-tiba sibuk membeli bekalan makanan dan keperluan lain yang agak banyak.

Ditanya kenapa begitu resah keadaan itu, ibu Kuli Siber mengatakan sudah ada orang mengamuk di Chow Kit dan akan berlaku rusuhan kaum. Ketika itu belum ada telefon bimbit atau media sosial baharu, tetapi perkhabaran berita juga menular dengan pantasnya.

Akhirnya Kuli Siber ternanti-nanti apakah benar ada berlaku rusuhan ketika itu, namun keadaan sebenarnya jauh meleset kerana anggota keselamatan negara menjaga suasana ketenteraman awam dengan baik sekali.

Yang berlaku hanya kejadian-kejadian jenayah yang berjaya ditangani dengan baik oleh pihak PDRM.

Rakyat Malaysia sewajibnya mengucapkan terima kasih yang berterusan kepada PDRM atas menjaga aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Malahan rakyat Malaysia perlu melahirkan kesyukuran yang tidak berbelah bahagi kerana negara ini terus dirahmati dan diberkati.

Ayuh rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab setiap warga negara untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.

Kuli Siber sudah tentu menjadi orang yang pertama mempertahankan kedaulatan negara tidak kira berada di dunia sebenarnya mahu pun di dunia maya.

 

  • Penulis ialah seorang pejuang maya yang menegakkan kebenaran dan mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia media dan komunikasi.

Comments

comments