Parlimen : Tiada Kompromi Kes Beli Perabot PGA Simpang Renggam

Kerajaan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam pembelian perabot Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menggunakan dokumen palsu seperti dilaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk menjawab.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mempunyai pendirian tindakan akan dilakukan jika ada tatacara yang tidak diikuti.

“Saya tidak boleh berkrompomi atau melindungi mana-mana pihak jika tatacara pembelian tidak diikuti dan saya memihak kepada laporan yang dibuat oleh PAC berdasarkan kepada apa yang diperoleh daripada Ketua Audit Negara.

“Saya minta jika ada kebertanggungjawaban itu sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau bahagian perolehan, maka tindakan hendaklah dilakukan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, sebentar tadi.

Semalam, PAC dalam laporannya mengatakan PGA Simpang Renggam menggunakan dokumen palsu dalam penyelesaian pembelian perabot dan bayaran tidak wajar dibuat sebelum perabot dibekalkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin dilaporkan berkata, perancangan perolehan perabot kurang teliti dengan bangunan belum siap bagi membolehkan pembekalan perabot dibuat, selain tiada tawaran sebut harga daripada kontraktor tempatan.

Sebaliknya, katanya, sebut harga adalah daripada syarikat yang beralamat di Bangi, Shah Alam dan Kuala Terengganu, manakala perolehan perabot tidak dibuat melalui kontrak pusat sistem panel dan kebenaran Perbendaharaan Malaysia tidak diperoleh terlebih dahulu.

Beliau berkata, spesifikasi khusus tidak ditentukan semasa tawaran sebut harga menyebabkan pengesahan barangan tidak dapat dilakukan bagi memastikan barang yang diterima mengikut keperluan pembelian dan peralatan belum dipasang atau diuji dengan sempurna kerana bangunan belum siap dibina. — BHONLINE

Comments

comments