Nicol Akhiri Kemarau 15 Bulan Gelaran Jelajah Dunia PSA

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mengakhiri kemarau 15 bulan gelaran dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas muncul juara kejohanan sulung Ciudad de Floridablanca di Colombia pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Nicol yang kali terakhir muncul juara di Terbuka Hong Kong pada Disember 2015, menunjukkan penguasaan gelanggang yang baik untuk menewaskan Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat 11-3, 11-4, 11-8 dalam pertarungan selama 70 minit.

Walaupun perlawanan dihentikan selama 40 minit pada kedudukan 6-6 di set ketiga akibat hujan, ia tidak mampu menyekat Nicol untuk menambah gelarannya dalam jelajah dunia kepada 81.

Juara dunia lapan kali itu jelas gembira mengakhiri penantian gelaran selama lebih setahun.

“Memang perasaannya cukup hebat untuk kembali muncul juara selepas sekian lama. Ia begitu istimewa untuk saya menjadi juara pertama di Floridablanca dan ini pasti mendapat tempat di hati saya.

“Terima kasih kepada penduduk Floridablanca, ia adalah minggu yang istimewa kepada semua pemain,” kata Nicol, 33, seperti dipetik dalam lam web PSA www.psaworldtour.com. — BERNAMA

Comments

comments