Tahniah Chong Wei, Anda Juara Seluruh England 2017

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

 

Bergema Arena Barclaycard di Birmingham, England sebentar tadi.

Chong Wei ! Chong Wei ! Chong Wei !

Begitulah laungan deras penyokong-penyokong tegar Malaysia yang begitu gembira dengan kemenangan mudah Datuk Lee Chong Wei ke atas pemain muda China, Shi Yuqi.

Keputusan 21-12, 21-10 straight set dicapai Chong Wei tanpa sebarang tentangan.

Walaupun cuba diasak Yuqi yang berusia 21 tahun itu, namun pengalaman memberikan satu kelebihan besar kepada pemain nombor satu dunia, Chong Wei untuk menguasai gelanggang.

Hampir segenap penjuru dikuasai dengan mudah Chong Wei membuatkan Yuqi berlari menangkis setiap hantaran pemain negara kita.

Set pertama menyaksikan Chong Wei menamatkan permainan dalam tempoh 18 minit sahaja sebelum menjadikan set kedua itu sebagai penamat mudah bagi merangkul kejuaraan Seluruh England tahun ini tanpa kelibat musuh ketat beliau, Li Dan yang terkandas di peringkat separuh akhir.

Ketika ditemuramah selepas perlawanan akhir itu, Chong Wei yang kelihatan begitu gembira telah membuat pengumuman secara terbuka bahawa dia akan datang kembali ke kejohanan Seluruh England ini untuk mempertahankan kejuaraannya itu.

“All England is my favourite tournament…. Here, is my home and I got many fans,” kata Chong Wei lagi.

Malahan, pemain utama negara, Chong Wei tidak lagi berselindung untuk bertemu dengan peminat di England ini semata-mata untuk mempertahankan kejuaraan bagi tahun depan, selain akan menumpukan tumpuan pula dalam Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow pula.

Chong Wei sudah tiga kali menjuarai Seluruh England iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2014.

Dengan empat kemenangan selaku pemain perseorangan lelaki di Seluruh England, Chong Wei kini menyamai pencapaian yang pernah dilakar legenda badminton negara, mendiang Datuk Eddy Choong yang meraih kejuaraan sama pada 1953, 1954, 1956 dan 1957.

 

 

 

Comments

comments