Malaysia Memiliki Strategik Ekonomi – Menteri Kewangan Kedua

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa dan gambar oleh Bakri Jeman

 

Belajar dari krisis kewangan !

Belajar dari krisis ekonomi !

Belajar dari kesilapan mahu pun kesilapan dan kelemahan kita !

Begitulah rumusan yang disuarakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang melihat negara ini dilimpahi pemikir dan pemimpin yang mempunyai kemampuan tinggi menangani dan menghadapi sebarang krisis dan permasalahan ekonomi, tidak kira global dan domestik.

Malahan Johari juga berpandangan bahawa setiap pasaran modal dan portfolio aset kewangan semasa Malaysia yang bernilai RM5.5 trilion, mampu menyokong ekonomi negara.
Tegasnya, elemen yang kukuh dalam pasaran ekonomi negara dapat menampan sebarang kejutan luaran serta aliran keluar dana.

Daripada jumlah itu, menurut Abdul Ghani, pasaran modal adalah bernilai RM3.1 trilion, terdiri daripada ekuiti (RM1.8 trilion) dan bon (RM1.3 trilion) manakala baki RM2.4 trilion merupakan aset kewangan.

“Inilah asas-asas yang kita ada iaitu kekuatan sistem kewangan, pasaran modal, sistem perbankan dan aset negara kita akan dapat bertahan daripada sebarang aliran keluar,” katanya sewaktu berucap sesi  dialog makan tengah hari bersama pengamal media anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini, Isnin lalu.

 

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya dan lebih 50 pengamal media arus perdana, media sosial baharu termasuk editor kanan serta universiti awam.

Johar berkata, walaupun berlaku aliran keluar RM32 bilion pada suku pertama tahun ini, Malaysia masih mampu mengekalkan pertumbuhan ekonominya.

“Kepelbagaian ekonomi dimiliki Malaysia, yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada perolehan minyak, telah berperanan penting membantu negara bertahan.

“Ketahanan kita mampu membentengi daripada kesan luaran dengan jangkaan ketidaktentuan harga komoditi dunia berpanjangan ditambah turun naik pasaran kewangan global akibat kesan pertukaran dasar di negara-negara seperti Amerika Syarikat.

“Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia perlu bersiapsagaan.

“Lagi pun negara kita telah mempelbagaikan perdagangan dan struktur ekonomi negara, mengukuhkan sistem kewangan, kerajaan dan modal insan.

“Inilah semua asas-asas kerajaan bagi memastikan ekonomi kita terus mapan,” katanya.

Johari berkata, pembangunan infrastruktur kukuh di negara ini seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pelabuhan dan kemudahan Transit Aliran Massa (MRT), semuanya telah menyumbang secara positif kepada asas-asas yang baik bagi negara.

Comments

comments