Terus Perkemas Tahap Kesiapsiagaan Menjelang PRU-14 – Najib

Datuk Seri Najib Razak mahu ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus memperkemaskan tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya bagi memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata, masih ada masa dan ruang untuk pemimpin dan ahli UMNO serta BN memperbaiki apa juga kekurangan walaupun laporan diterima menunjukkan tahap kesiapsiagaan adalah baik.

Katanya, ‘mood’ dan semangat lebih tiga juta ahli UMNO juga dalam keadaan terbaik selepas semua 191 bahagian selesai menyempurnakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

“Kalau saya sebagai Perdana Menteri nak memukul beduk atau gong atau tiup wisel (mengadakan PRU-14), tahap kesiapsiagaan kita (UMNO dan BN) mesti sudah baik.

“Namun, kalau kita bersifat ‘perfectionist’ atau tidak berpuas hati sehingga segala-galanya sempurna, masih ada ruang untuk kita tingkatkan lagi tahap kesiapsiagaan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Najib berkata, tahap kesiapsiagaan yang boleh dipertingkatkan termasuk dalam aspek penugasan yang perlu dilakukan dengan lebih baik.

“Kita boleh ambil pengajaran dan teladan dengan mencontohi semangat perjuangan atlet Malaysia yang menyertai Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur.

“Walaupun ada kalanya mereka ketinggalan, tetapi semangat untuk capai kemenangan dan kejayaan membolehkan mereka akhirnya menang pingat emas,” katanya.

Katanya, atlet Malaysia bersemangat untuk mencapai kemenangan bagi merealisasikan sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan atau melebihi sasaran berkenaan. — BH ONLINE

Comments

comments