DUN Johor: Keluasan Tanah Rizab Melayu di Johor Meningkat

Keluasan tanah berstatus Rizab Melayu di Johor meningkat kepada lebih 555,527.859 hektar sehingga 31 Julai lalu, iaitu 29.4 peratus daripada keluasan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keluasan itu meningkat sebanyak 251.844 hektar, daripada 555,276.015 hektar yang diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG), daerah Kota Tinggi mencatatkan keluasan tanah rizab tertinggi (128,255.339 hektar), diikuti Muar (80,064.313 hektar) dan Segamat (62,090.819 hektar)

“Ingin saya tegaskan tanah yang diwartakan ataupun yang diluluskan menjadi tanah rizab Melayu akan kekal selamanya menjadi tanah rizab Melayu.

“Tanah ini tidak boleh dibatalkan dan digantikan dengan sewenang-wenangnya.

“Meskipun Johor menduduki tempat yang pertama dari sudut menarik pelaburan dalam dan luar negara ke negeri ini, kepentingan untuk memelihara rizab Melayu ini tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri menetapkan bahawa mana-mana tanah yang hendak dibuat pembatalan hendaklah digantikan dengan tanah yang sifatnya adalah sama atau lebih baik dari segi keluasan dan nilaian,” katanya pada sidang Dewan Negeri Johor yang ke-13 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit (BN), Ayub Jamil berhubung jumlah keluasan tanah Rizab Melayu dan perancangan kerajaan negeri bagi menambah keluasan itu.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri sangat serius melihat isu berkenaan dengan setiap permohonan penggantian yang hendak dibawa untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri perlu diperhalusi di peringkat PTG terlebih dahulu.

“Atas sebab itu, dari 2013 hingga hari ini, kerajaan negeri hanya meluluskan empat permohonan pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu membabitkan keluasan 10.56 hektar,” katanya.

Bagi menjaga pemilikan tanah rizab Melayu dan memastikan sentiasa bertambah, beberapa langkah proaktif diambil yang mana-mana tanah kerajaan yang dikurniakan kepada orang Melayu adalah disyaratkan untuk dijadikan sebagai tanah Pegangan Melayu mengikut Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu 1936.

Katanya, melalui seksyen ini, kemasukan rizab Melayu perlu melalui proses pewartaan sebanyak dua kali iaitu kali pertama hebahan kepada awam dan pewartaan kali kedua bertujuan memuktamadkannya.

“Bagi memastikan tanah yang dikurnia tetapi belum diwartakan sebagai rizab Melayu terpelihara, pihak pentadbiran tanah mengambil pendekatan dengan membuat endosan kaveat pendaftar ke atas tanah berkenaan,” katanya. – BH Online

Comments

comments