Bibi Ramjani Presiden Baharu KAFA

Usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan yang baharu dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), bertekad untuk melakukan perubahan sebaiknya pada pasukan The Red Warriors (TRW).

Bibi Ramjani yang tidak menyangka dengan kemenangan itu menyifatkan, tanggungjawab baharu yang digalas itu memberi makna bahawa penyokong mahukan perubahan oleh barisan kepimpinan KAFA.

“Syukur ke hadrat Ilahi atas kemenangan dan saya berterima kasih kepada wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) kerana yakin dan percaya dengan memberikan mandat ini kepada saya.

“Sukar untuk saya percaya dengan kemenangan hari ini. Namun kepercayaan yang diberikan ini akan digalas sebaik mungkin demi kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya ketika ditemui di Perdana Resort selepas diumumkan sebagai pemenang pada Kongres Tahunan Ke-63.

Bibi Ramjani mendapat sebanyak 32 undi sekali sekali gus menewaskan Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang memperoleh 19 undi.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, walaupun beliau mengemudi KAFA, namun tidak bermakna beliau akan mengurus tadbir badan induk itu mengikut caranya tanpa berbincang dengan pasukan kepimpinan.

“Saya mempunyai sebuah pasukan gerak kerja bagi mengurus pengurusan termasuk skuad TRW. Saya sudah sediakan perancangan dan pasukan bagi menyelaraskan persatuan secara betul termasuk mengurus kewangan KAFA.

“Insya-Allah nafas baru akan diberikan kepada KAFA dan yang lebih penting kepada TRW…Semoga TRW dapat dikembalikan kegemilangannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai masalah kewangan dan tunggakan hutang, Bibi meminta penyokong memberi sedikit masa dan berjanji akan menyelesaikan perkara itu sebelum tarikh tutup pendaftaran lesen.

“Beri saya sedikit masa untuk selesaikan semua itu kerana saya tidak tahu masalah sebenar yang berlaku selain jumlah yang tunggakan hutang yang perlu dibayar,” katanya. — BH ONLINE

USAHAWAN wanita yang juga pengasas Desa Murni Batik Sdn Bhd, Bibi Ramjani Ilias Khan gembira apabila diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersama Timbalan Presiden yang masih kekal menjadi milik Datuk Seri Afandi Hamzah bagi penggal 2018 hingga 2021 dalam Kongres Tahunan KAFA Ke-63 yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort, Kota Bharu. – Foto Fathil Asri

Comments

comments