Kerajaan Baharu NZ 3 Minggu Lagi

 Kerajaan baharu New Zealand akan dibentuk dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi selepas pilihan raya berakhir hujung minggu lalu.

Ia berikutan parti pemerintah Nasional pimpinan Perdana Menteri, Bill English perlu membentuk kerajaan pakatan dengan parti kecil.

Parti Nasional, penyandang utama, memperoleh 46 peratus undian Sabtu lalu, jauh mendahului pencabar Parti Buruh yang memperoleh 35.8 peratus.

Namun, menerusi sistem perwakilan perkadaran di New Zealand tiada siapa memenangi kerusi parlimen mencukupi untuk mentadbir secara tunggal.

Parti Nasional memperoleh 58 kerusi, manakala kerjasama antara parti Buruh diketuai Jacinda Ardern dan Parti Hijau, 52 kerusi.

Namun, Nasional dan Buruh masih memerlukan sembilan kerusi dipegang Parti New Zealand First bagi mencapai 61 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

English berkata, beliau masih belum berbincang dengan pemimpinnya, Winston Peters, seorang ahli politik veteran yang berkhidmat sebagai menteri kabinet dalam kedua-dua kerajaan Nasional dan Buruh. – REUTERS

Comments

comments