Mercy Malaysia Fokus Bantuan Kesihatan Pelarian Rohingya

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) merancang beroperasi sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan di Bangladesh bagi membantu lebih 640,000 pelarian Rohingya yang berada di negara itu.

Ini termasuk lebih 430,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari utara Rakhine sejak 25 Ogos lalu berikutan operasi tentera Myanmar di wilayah bergolak itu.

Ketua Pembangunan Program dan Operasi Mercy Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim, berkata badan kemanusiaan itu memasuki wilayah Cox’s Bazar sejak 9 September lalu bagi menjalankan program kemanusiaan untuk etnik Rohingya.

Ini termasuk membuka klinik bergerak di penempatan pelarian Rohingya di Thangkhali dan kem pelarian tidak rasmi Kutupalong selain menjalankan program pengagihan makanan.

“Kita telah memulakan klinik bergerak dengan rakan kerjasama tempatan tetapi pada masa sama kita sedang merancang untuk memberi bantuan kemanusiaan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan.

“Penilaian yang dibuat Mercy Malaysia menunjukkan ada empat sektor terjejas teruk iaitu tempat tinggal, makanan, WASH (air, sanitasi dan kebersihan) dan kesihatan. Mercy Malaysia akan memfokuskan kepada (khidmat) kesihatan dan WASH,” katanya kepada wartawan BH ketika ditemui di klinik statik di sini, semalam.

Klinik statik yang menerima purata 600 pesakit pelarian Rohingya sehari itu dibuka Dhaka Community Hospital (DCH) Trust yang juga rakan kerjasama Mercy Malaysia di Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya terjejas.

Klinik yang beroperasi dengan 12 tenaga kerja, termasuk dua doktor itu, dibuka di tepi jalan berdekatan pintu masuk penempatan pelarian Rohingya di Thangkhali yang menempatkan 24,000 pelarian berdasarkan angka rasmi IOM (Pertubuhan Migrasi Antarabangsa) sehingga 20 September lalu.

Kawasan itu antara enam kawasan baharu yang menempatkan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak lebih sebulan lalu berikutan operasi berdarah tentera Myanmar yang dilaporkan menyasarkan kumpulan militan Rohingya.

Tentera Myanmar didakwa melakukan keganasan ke atas penduduk Rohingya, termasuk membunuh dan membakar kampung etnik itu di wilayah Maungdaw di utara Rakhine dengan tujuan menghalau etnik Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar walaupun mereka dikatakan menetap di Arakan (nama asal Rakhine) sejak berkurun lamanya.

Said Alhudzari berkata Mercy Malaysia memerlukan dana sejumlah RM3 juta untuk menjalankan program dirancang, termasuk membawa doktor dan pakar perubatan dari Malaysia untuk bekerja di kem pelarian Rohingya di wilayah Cox’s Bazar.

Orang ramai ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan melayari laman Facebook Mercy Malaysia atau menyumbang terus kepada tabung khas “Myanmar Relief Fund” di akaun Mercy Humanitarian Fund 562179504126 (Maybank). – BH Online

Comments

comments