Pesta Arak: Pas Tentang Habis-habisan

 

Pas mahu semua pihak terutama kerajaan negeri menolak penganjuran apa jua pesta arak seperti Better Beer Festival 2017. Dalam masa sama, parti itu sekali lagi memberi peringatan akan menentang habis-habisan penganjurannya yang disifatkan salah daripada segi moral selain tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak perlu meneliti perkara itu dan melihat kesannya jika pesta tersebut dianjurkan.

“Pertama daripada segi sensitivitinya kerana majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

“Kuasa yang ada pada kerajaan negeri itu sepatutnya digunakan dengan melihat kepentingan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta Better Beer Ferstival 2017 atas sebab keselamatan selain ia bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Bagaimanapun timbul ura-ura pesta arak tersebut akan dipindahkan ke Selangor tetapi mendapat tentangan daripada banyak pihak.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak seluruh dunia. – UTUSAN ONLINE

Comments

comments