TPM, Isteri TPM dan Rombongan Selamat Tiba Di Beijing

Oleh Azreyna Razali dan gambar oleh DEPMO

 

Timbalan Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia selamat tiba malam tadi di Beijing, China.

Kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Beijing adalah lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke negara Tembok Besar. ‬

‪ ‬‪Pesawat dinaiki Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, kira-kira jam 8.30 malam.

‬‪Antara yang menyambut ketibaan Ahmad Zahid ialah Duta Besar Malaysia di China, Datuk Zainuddin Yahya dan isteri, Datin Fairos Ishak serta Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa Kementerian Keselamatan Awam China, Li Li.

‬‪Ahmad Zahid berada di Beijing atas jemputan rasmi Menteri Keselamatan Awam China, Gua Shengkun.

‬‪Ia adalah lawatan kali ketiganya ke China sejak menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.

Ahmad Zahid akan menghadiri Perhimpunan Agung INTERPOL Ke-86, yang dijadual dirasmikan oleh Presiden China, Xi Jinping di Pusat Konvensyen Nasional China (CNCC), di sini, pagi esok.

‬‪Antara isu yang akan disentuh membabitkan jenayah rentas sempadan, pencegahan keganasan dan jenayah siber, dalam perbincangan perhimpunan disertai 158 negara anggota INTERPOL.

‪ Ia adalah penyertaan kali kedua Ahmad Zahid pada perhimpunan agung INTERPOL selepas kali pertama di Monaco pada tahun 2014.‬

‪ ‬‪Timbalan Perdana Menteri juga mempunyai atur cara yang padat esok dengan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu.

‪ ‬‪Ini disusuli pertemuan dengan rakan sejawatannya, Shengkun pada sebelah petang.‬

Pada sebelah malam pula, Ahmad Zahid akan menghadiri mesyuarat bersama dengan Jianzhu dan Presiden INTERPOL, Meng Hongwei.

‬‪ ‬‪Turut menyertai Mesyuarat Bersama ialah Timbalan Perdana Menteri Belgium, yang juga Menteri Dalam Negeri, Jan Jambon dan Timbalan Peguam Negara Amerika Syarikat, Rod J Rosenstein.

Comments

comments