Usahawan Melayu Perlu Lonjakan Deras Di Zaman Siber

Oleh Kaki Bedal

 

Masalah penglibatan orang Melayu dalam aktiviti perniagaan masih menjadi isu pokok, walaupun negara ini telah 60 tahun merdeka.

Masyarakat Melayu masih gagal menguasai 30% ekuti dalam aktiviti ekonomi nasional walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar, strategi dan insentif disediakan untuk membantu mereka.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan kemuncak kepada dasar yang memberi tumpuan istimewa membangunkan ekonomi orang Melayu, termasuk dalam aktiviti perniagaan.

Data terkini mengenai pemilikan orang Melayu dalam ekonomi negara masih lagi kecil walaupun pelbagai dasar dan hala tuju telah digubal oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.

Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah ialah menggalakan orang Melayu menceburi bidang perniagaan melalui program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Melalui program ini, penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan dilihat semakin meningkat, namun penglibatan tersebut masih lagi rendah dan terhad kepada sektor yang kurang berpotensi serta beroperasi pada saiz kecil.

Misalnya, aktiviti perniagaan orang Melayu banyak tertumpu dalam bidang perusahaan makanan secara kecil-kecilan dan hanya memberi fokus pada pasaran tempatan sahaja.

Sejarah lampau menunjukkan orang Melayu pernah menjadi pedagang yang berjaya dan mampu menembusi pasaran dunia.

Namun, sejarah kegemilangan tersebut terbantut apabila Tanah Melayu mula dikuasai penjajah.

Ketika zaman kesultanan Melaka, Melaka pernah muncul sebagai pusat perdagangan yang terkenal, dan ketika itu penglibatan orang Melayu dalam aktiviti perniagaan, selain dari bertani, amat ketara sekali.

Melaka pada waktu itu muncul sebagai bandar pelabuhan yang menjadi tempat persinggahan pedagang dari serata pelusuk dunia, termasuk pedagang dari Arab, India dan China.

Penaklukan Melaka oleh Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris telah memberi kesan yang besar terhadap fungsi bandar ini dan juga kemudiannya aktiviti orang Melayu.

Keterlibatan orang Melayu dalam aktiviti perniagaan semakin berkurangan, sebaliknya tertumpu kepada aktiviti bertani
dan penternakan.

Walaupun orang Melayu mempunyai sejarah yang gemilang dalam aktiviti keusahawanan, namun perangkaan terkini menunjukkan bahawa peratus usahawan yang berjaya masih lagi kecil.

Walaupun terdapat laporan menunjukkan bahawa bilangan usahawan Melayu di negara ini semakin meningkat, namun tidak kurang juga yang menghadapi kegagalan.

Usahawan lazimnya menghadapi pelbagai cabaran, bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan, lokasi, masa, bentuk persaingan serta potensi pasaran yang wujud.

Namun begitu, secara umumnya cabaran yang harus dilalui oleh seseorang usahawan boleh dibahagikan kepada diri, keluarga dan persekitaran.

Kejayaan dan kegagalan merupakan satu lumrah bagi individu yang bergelar ahli perniagaan.

Kerana itu, penulis melihat usaha Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia menyasarkan 5,000 usahawan muda dari seluruh negara untuk menyertai Kongres GMB 2017, melalui jerayawara yang dijalankan di setiap negeri suatu yang luar biasa.

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil dipetik sebagai berkata, jerayawara Kongress GMB 2017 telah bermula di Kelantan dan dijangka tamat pada 20 November di mana perasmian penutupan akan diadakan sama ada di Sabah atau Sarawak.

“Untuk jerayawara kali ini, kita akan ke dua tempat bagi setiap negeri dan tidak semestinya ibu negeri. Contohnya bagi Terengganu, kita akan ke Dungun dan mungkin Kuala Terengganu, manakala untuk Perak, kita mungkin akan ke Daerah Larut Matang dan Selama.

“Jerayawara ini akan turut disertai kementerian dan agensi di bawah kementerian seperti Perbadanan Pembangunan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation dan lain-lain,” katanya.

Melalui jerayawara ini, GMB akan mengenal pasti produk dan lokasi yang terbaik bagi setiap tempat yang dikunjungi bagi tujuan mengkomersil dan mengembangkan produk tersebut ke peringkat global.

Melalui kongres ini juga, GMB akan menggunakan pendekatan e-dagang dalam membantu usahawan dari kawasan yang agak terpencil untuk memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih besar.

“Kita juga berhasrat untuk membuat cara hidup baharu yang membolehkan produk kita dikenali di mata dunia sebagai ‘Produk Malaysia’ seperti yang dilakukan Korea Selatan dan Jepun.

“Jika kita lihat, produk dari kedua-dua negara ini seperti Ramen, Sushi dan sebagainya, begitu terkenal di seluruh dunia.

“Kerajaan Jepun mengamalkan sistem menyokong setiap syarikat tempatan yang menjual dan memasarkan produk mereka ke negara luar.

“Di Malaysia juga terdapat produk tempatan yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara, seperti petai, yang mana makanan ini begitu terkenal di Eropah sebagai ejen anti-oksidan,” kata Agil Faisal lagi.

Yang penting usahawan Melayu perlu berubah sikap untuk lebih berjaya lagi.

Comments

comments