Berita Gembira Untuk Penjawat Awam Dalam Bajet 2018

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Okt ini.

“Saya faham, ramai yang ternanti-nanti akan pengumuman-pengumuman tertentu,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-15 di sini hari ini.

Kenyataan Najib itu disambut tepukan gemuruh lebih 5,000 penjawat awam yang menghadiri acara tahunan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada acara itu, perdana menteri menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Najib pada majlis itu berkata kerajaan sejak puluhan tahun, amat menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para penjawat awam yang sekian lama bersama pentadbiran kerajaan, saling ganding-berganding, lengkap-melengkapi dan dukung-mendukungi.

Katanya, kerajaan terutamanya sejak lapan tahun kebelakangan ini, melaksanakan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam.

Antaranya ialah dengan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak tujuh peratus hingga 13 peratus pada 2012, menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun atau lebih pada 2012, penetapan gaji terendah daripada RM832 kepada RM1,200 sebulan mulai Julai 2016 dan pemberian pergerakan gaji tahunan sebanyak tiga peratus setahun kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum, katanya.

Selain penambahbaikan dari segi struktur gaji dan perkhidmatan, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan dari sudut kebajikan penjawat awam.

Antaranya menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup atau COLA sebanyak RM50 sebulan pada tahun 2012 bagi penjawat awam yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan atau ITP minimumkepada RM300 sebulan pada 2015, katanya.

“Kesemua kemudahan dan imbuhan yang dinikmati oleh penjawat awam adalah kerana hubungan kerjasama yang kukuh antara kerajaan yang baik dan perkhidmatan awam yang cekap lagi efisien,” katanya.

“Barulah wujudnya satu simbiosis yang mantap dalam memecut dan ‘to leapfrog’ atau melonjakkan Malaysia supaya tersenarai dalam kelompok 20 negara termaju dana terbaik di dunia menjelang tahun 2050,” kata perdana menteri.
– BERNAMA

Comments

comments