Rang Undang-undang Sumber Air Negara Dibentang Akhir Bulan Ini Di Parlimen

Rang Undang-undang (RUU) Sumber Air Negara sedang diperhalusi lebih lanjut dan dijangka dapat dibentangkan pada persidangan parlimen hujung bulan ini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri.
Beliau berkata draf RUU itu kini sedang dalam peringkat akhir untuk diperkemaskan dengan mengambil kira cadangan-cadangan daripada semua kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.
Cadangan-cadangan itu antaranya adalah mencari sumber tadahan air yang baharu berdasarkan perubahan taburan hujan yang tidak lagi jatuh di kawasan tadahan air yang dikhususkan.
Selain itu, ia menyentuh jumlah hujan yang terlalu banyak hingga menyebabkan banjir dan banjir kilat yang harus diambil peduli serta cadangan untuk mencari penyelesaian bagi banjir yang berlaku di lokasi yang dahulunya tidak pernah dinaiki air namun kini berubah berikutan perubahan iklim.
RUU itu juga bakal melihat cadangan untuk menambah baik sistem perparitan susulan beberapa faktor perubahan, selain cadangan untuk penambahan sukatan pelajaran pendidikan alam sekitar bagi mengubah mentaliti dan sikap masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar terutamanya yang berkaitan dengan sumber bekalan air, keselamatan banjir, dan kesan pencemaran air.
“Kita jangka dapat bentangkannya pada sesi parlimen akhir bulan ini, meskipun fokus utama dalam persidangan itu lebih tertumpu kepada penyediaan Bajet 2018.
Semua negeri telah dimaklumkan mengenai RUU tersebut dan ada beberapa negeri telah memberi maklum balas kepada Pengerusi Majlis Sumber Air Negara atau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Water Leaders Forum 2017 di sin.
Hamim memberitahu pihaknya berharap RUU itu boleh diterima pakai oleh semua kerajaan negeri, selain berkata mereka turut boleh menambah baik RUU itu mengikut kesesuaian polisi masing-masing.
“Kerajaan negeri boleh menambah baik RUU berkenaan bagi memenuhi keperluan setiap negeri itu kerana setiap kerajaan mempunyai garis panduan tersendiri dan penggunaan air yang berbeza.
Mudah-mudahan RUU yang diturunkan kepada kerajaan negeri ini nanti akan dapat membantu dalam melaksanakan semua garis panduan dan menguatkuasakan undang-undang dalam melestarikan sumber air tersebut,”katanya. — BERNAMA

Comments

comments