MENJELANG BAJET 2018 DI PARLIMEN : MTUC Cadang Kerajaan Bina Rumah Mampu Milik Pekerja Swasta

Kerajaan disaran mempertimbangkan isu rumah mampu milik, insurans perlindungan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan rebat cukai pendapatan untuk kakitangan swasta dalam pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober ini.

Tiga isu itu adalah antara cadangan utama dikemukakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) demi memastikan kebajikan pekerja swasta terus terjamin.

Presidennya, Abdul Halim Mansor, mengesyorkan kerajaan bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menyediakan mekanisme supaya pencarum boleh membeli rumah mampu milik melalui akaun KWSP.

Ketika ini, katanya, pencarum boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk deposit membeli rumah pertama tetapi jumlahnya terhad.

“Kita mohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan kemudahan pinjaman akaun KWSP untuk pekerja swasta membeli rumah mampu milik, selain membenarkan pencarum membayar ansuran bulanan pinjaman menggunakan akaun KWSP.

“Kebanyakan pekerja swasta terutama golongan M40, tidak boleh membeli kediaman kerana tidak layak mendapatkan rumah mampu milik manakala harga rumah dijual pemaju terlampau mahal dengan anggaran harga pasaran bagi apartmen kos sederhana baharu mencecah RM400,000.

“Menerusi pertimbangan ini, pembentangan Bajet 2018 akan lebih inklusif, sekali gus menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya kepada BH.

Abdul Halim berkata, pihaknya mengharapkan kerajaan membuat pemotongan insurans penerima BR1M daripada kelompok pekerja swasta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Katanya, kerajaan disyor membuat pemotongan mengikut kadar tangga gaji untuk membolehkan pekerja swasta menikmati jaminan faedah perkhidmatan PERKESO termasuk, ganti rugi dan skim keilatan sekiranya ditimpa musibah.

“Pemotongan perlindungan insurans dengan PERKESO seperti tindakan serampang dua mata khususnya membabitkan sektor tidak formal seperti nelayan, petani dan pembantu rumah.

“Golongan ini mengambil mudah perlindungan insurans kerana pendapatan mereka kecil. Tindakan ini boleh mendidik dan ‘membuka minda’ mereka manakala kebajikan waris terjamin.

“Sekiranya kerajaan tidak memberi pendidikan, mereka akan terus menjadi penerima BR1M untuk jangka panjang dan sukar keluar daripada kepompong atau belenggu kemiskinan,” katanya.

Mengenai rebat cukai pendapatan pekerja swasta, Abdul Halim memohon kerajaan meneliti semula pemotongan cukai pendapatan dan melaksanakan mekanisma rebat cukai pendapatan.

Katanya, kakitangan swasta terutama di bandar besar terus dihimpit masalah kos sara hidup tinggi dan tidak berpadanan dengan skim gaji mereka.

“Pelaksanaan rebat cukai pendapatan boleh mengurangkan beban pekerja swasta khususnya dalam pembelian barangan keperluan asas termasuk rumah,” katanya. – BH Online

Comments

comments