Penangkapan lapan individu termasuk dua yang merekrut banduan di Penjara Tapah, Perak untuk menjadi militan dilakukan kerana terdapat unsur mahu mencetuskan kegelisahan sosial dalam kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kumpulan itu mahu memberi gambaran bahawa Malaysia sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama.

Menurut beluau, kumpulan itu yang mahu memporak perandakan keharmonian beragama di negara ini dengan mahu membakar dan merosakkan rumah-rumah ibadat sama ada masjid, kuil tokong atau gereja.

“Penahanan dua daripada lapan lelaki oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Sabah, Selangor dan Perak merupakan tindakan susulan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia merupakan komitmen kerajaan yang mahu melakukan pembanterasan terhadap elemen keganasan di negara ini yang dianggap masih perlukan keprihatinan oleh pihak berkuasa terutama PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada warga miskin kaum India sempena sambutan Deepavali di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE