Bajet 2018: Mesti Mesra Belia

Bajet 2018 yang bakal dibentangkan pada hujung bulan ini hendaklah lebih mesra belia dengan tumpuan kepada penyediaan latihan kemahiran, insentif perumahan, perniagaan kecil serta peluang pekerjaan.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Rizan Hassan, berkata dana untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) patut dipertingkatkan setara dengan pendidikan akademik.

Walaupun pelbagai transformasi sudah dilakukan kerajaan, katanya, masih ramai lagi tidak mendapat peluang untuk mengikuti latihan dalam bidang kemahiran.

Beliau berkata, isu besar bagi golongan belia dalam bidang kemahiran ialah pemberian dana.

“Peluang untuk belajar memang ada tetapi sumber untuk mendapatkan bantuan penajaan sama ada pinjaman atau biasiswa tidak setara dengan mereka yang memilih aliran akademik.

“Jadi, kita menghadapi masalah dalam melahirkan golongan pekerja berkemahiran. Faktor inilah yang mengekang untuk kita menghasilkan belia berkemahiran dalam melahirkan tenaga kerja berkebolehan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga harus memberi tumpuan terhadap isu perumahan yang kini semakin sukar untuk dimiliki golongan belia.

“Kita masih konsisten dengan soal perumahan sebab ia masih menjadi isu besar bagi golongan belia. Kita berharap kerajaan Bajet 2018 akan membantu meringankan beban belia untuk memiliki rumah,” katanya.

Selain itu, katanya, golongan beliau mengharapkan peluang pekerjaan yang lebih kompetitif setaraf dengan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki.

Beliau berkata, pihak industri seolah-olah masih tidak bersedia menghadapi revolusi untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, sedangkan kini ada ramai graduan berpendidikan tinggi dalam bidang teknologi.

“Graduan dilihat seolah-olah terlalu berkemahiran dan akhirnya majikan sukar untuk menerima mereka masuk ke dalam industri. Malah, majikan masih mengambil pekerja yang berkemahiran rendah daripada sumber luar,” katanya.

Mohd Rizan berkata, golongan belia turut mengharapkan bantuan dari segi dana perniagaan bagi mereka yang terbabit dalam bidang usahawan.

“Perkembangan teknologi membawa negara ini ke arah dunia digital. Justeru, dana berkaitan inovasi perlu diperkasakan supaya mereka bersedia dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya. – BH Online

 

Comments

comments