Paus Terdampar Di Pantai Cherating

Kira-kira 20 kakitangan resort terkemuka di Cherating, dekat sini, menyelamatkan seekor paus sepanjang kira-kira empat meter, yang dipercayai sesat dan terdampar di pantai, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi, kakitangan dan pengunjung resort itu membantu menolak mamalia berkenaan ke dalam air.

Menurut seorang kakitangan resort yang enggan dikenali, mamalia itu ditemui terdampar oleh beberapa kakitangan resort dan masih hidup.

“Mereka memanggil rakan yang lain untuk sama-sama membantu haiwan berkenaan kembali ke laut.

“Kami beranggapan ikan paus ini mungkin tersesat sebelum terdampar di pantai ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menolak ikan paus itu ke laut.

“Ketika usaha untuk menolak haiwan itu ke laut, orang ramai tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan merakamkan video kenangan bersama mamalia yang jarang ditemui di Malaysia itu.

“Ia peristiwa yang jarang berlaku dan yang pertama sejak saya bekerja di sini lapan tahun lalu,” katanya. — BH ONLiNE

Comments

comments