TPM Cadang Wujudkan Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat negara ini.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu-individu yang sentiasa berfikiran positif, matang, mempunyai keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif serta ampuh menghadapi cabaran dunia semasa.

“Modal insan bertaraf dunia boleh dicapai sekiranya setiap tenaga kerja mempunyai minda dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan, disaluti etika yang luhur dan mengamalkan budaya berpencapaian tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017, di Putrajaya  hari ini.

Beliau mahu perkhidmatan psikologi dalam pengurusan modal insan negara ini terus diperkasa bagi memastikan keseimbangan fizikal, emosi, tingkah laku dan rohani warga kerja berada di tahap yang terbaik untuk memberi sumbangan terbaik kepada negara.

“Setiap guna tenaga yang ada di negara ini perlu dipastikan dalam keadaan terbaik agar mereka boleh bersama menggerakkan gelombang kecemerlangan negara menjelang 2050,” katanya.

Dalam perkhidmatan awam, katanya, sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan psikologi bagi membantu penjawat awam telah diwujudkan melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).

Sejak diperkenalkan pada 2005, program itu telah berjaya dan berfungsi untuk membantu penjawat awam menangani isu dalam kehidupan dan pekerjaan mereka, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah melancarkan Program Return to Work (RTW) pada 2007 bertujuan membantu pencarum yang hilang upaya menjalani sesi kaunseling, intervensi pemulihan fizikal, pemulihan vokasional, latihan pekerjaan dan akhirnya boleh kembali bekerja.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2007 hingga Ogos 2017, seramai 17,183 orang pekerja telah berjaya dipulihkan dan kembali semula bekerja di bawah program RTW.

Pada persidangan yang dihadiri 7,000 peserta sektor awam dan swasta itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perkeso dan JobStreet.com bagi program RTW. – BERNAMA

Comments

comments