Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sehubungan itu menyarankan pihak terlibat supaya mencari idea lain bagi menarik penyertaan orang ramai dalam sesuatu acara pada masa depan.

Walau bagaimanapun beliau menganggap mereka yang terlibat ‘menjadi Zombie’ dalam acara itu tidaklah sehingga merosakkan akidahnya.

“Kalau dikaitkan dengan kurafat okay, tetapi tidaklah rosak akidah kerana mereka (wanita) pun masih memakai tudung (menutup aurat).

“Pada saya, tiada kelebihan pun (memakai pakaian menyerupai Zombie) dan dalam hal ini, kita mestilah bertindak seperti orang yang matang,” katanya dalam satu rakaman video ceramah Mohd. Asri yang disiarkan dalam Facebook Sunnah Chanel di sini hari ini.

Beliau mengulas komen pelbagai pihak di laman-laman sosial baru-baru ini yang mengkritik penganjuran acara berkenaan pada 7 Oktober lalu, apatah lagi bagi sebuah negeri yang menggunakan gelaran Darul Sunnah. – UTUSAN ONLINE