Pertimbangkan 100 Peratus Pekerja Asing Bagi Pengeluaran Syarikat Eksport

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengambilan 100 peratus pekerja asing oleh syarikat yang menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya mereka dapat memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata bagi syarikat yang berdaya saing, penambahan kapasiti pengeluaran sentiasa diperlukan untuk mereka mempertingkatkan daya saing di peringkat global.

“Saya rasa syarikat seperti ini wajar dibantu untuk menaikkan lagi taraf mereka sebagai juara bukan sahaja di peringkat Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat V.S Industry Bhd di Kawasan Perindustrian Senai, dekat Kulai semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai terdapat permohonan daripada syarikat yang menjalankan eksport termasuk V.S Industry untuk mengambil pekerja asing bagi memenuhi tempahan dan permintaan pelanggan.

Permohonan itu berikutan syarikat terbabit mengalami kekurangan pekerja.

Nur Jazlan berkata bagaimanapun, permohonan berkenaan perlu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memandangkan syarikat adalah tertakluk di bawah kementerian tersebut.

“Syarikat (yang menjalankan aktiviti pembuatan atau pengeluaran untuk eksport) tertakluk di bawah MITI. Kalau MITI dah buat penilaian dan telah bersetuju dengan keperluan (syarikat) tersebut, maka Kementerian Dalam Negeri akan akur,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata pada masa yang sama, syarikat berkenaan perlu memastikan kuota pekerja tempatan turut diisi di segmen lain, seperti di pentadbiran, teknikal dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif V.S Industry, Ng Yong Kang berkata pihaknya memerlukan jumlah pekerja dua kali ganda daripada kapasiti sekarang dengan 6,000 pekerja bagi segmen pengeluaran pada masa akan datang.

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 8,000 pekerja.

Beliau berkata, syarikat dijangka meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran iaitu sebanyak 30 peratus apabila kilang baharu di Senai mula beroperasi pada suku pertama 2018. – BERNAMA

 

Comments

comments