PM Saksi Penyerahan Dokumen Pembiayaan Sukuk Hijau

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyaksikan penyerahan dokumen pembiayaan Sukuk Hijau bagi projek solar di bawah Program Solar Berskala Besar (LSS) yang diperkenalkan kerajaan pada 2015.

Penyerahan dokumen itu dibuat antara Tadau Energy Sdn Bhd (Tadau Energy) dan Quantum Solar Park Semenanjung Sdn Bhd (QSPM) dengan pelabur masing-masing.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, barisan menteri Kabinet.

Pembiayaan Sukuk Hijau ini adalah satu kaedah inovatif untuk menyediakan pembiayaan global bagi projek pembangunan lestari di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI Sukuk).

Ia adalah pembiayaan Sukuk Hijau pertama di dunia hasil kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia dalam usaha membangunkan ekosistem untuk memudahkan pertumbuhan Sukuk Hijau dan memperkenalkan instrumen kewangan inovatif untuk menangani keperluan infrastruktur global dan pembiayaan.

Melalui pembiayaan Sukuk Hijau ini, Malaysia mencatatkan sejarah dalam pembiayaan hijau dan arena sukuk global dengan penerbitan Sukuk Hijau pertama di dunia oleh Tadau Energy pada Julai lalu dengan nilai RM250 juta.

Ia diikuti dengan penerbitan Sukuk Hijau sebanyak RM1 bilion oleh QSPM yang mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam kewangan hijau Islam dan memantapkan usaha negara dalam memperkenalkan inovasi dalam produk pembiayaan kewangan Islam.

Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam pasaran kewangan hijau Islam dengan menerbitkan lebih banyak Sukuk Hijau untuk membiayai projek infrastruktur mesra alam dengan sokongan teknikal dari Bank Dunia yang turut berkongsi amalan terbaik antarabangsa dengan kerajaan dan institusi kewangan Malaysia.

Menerusi ekosistem pembiayaan yang kondusif ini, kerajaan yakin sasaran penjanaan elektrik daripada tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 7,200 megawatt (mw) menjelang 2020, akan tercapai dengan jumlah penjanaan elektrik daripada tenaga solar menyumbang sebanyak 2,080 mw. – BH Online

Comments

comments