RENCANA : Malaysia Komited Tangani Kempen Antisawit

Oleh Hassan Omar

 

Berucap pada majlis makan malam dan penyampaian Anugerah Kepemimpinan Industri Minyak Sawit (PILA) 2017 anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), di Kuala Lumpur baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pelbagai pihak yang terbabit dalam perdagangan komoditi berkenaan supaya melipatgandakan usaha mempertahankannya dan Malaysia tidak harus berkompromi dengan pihak menjalankan kempen memburuk-burukkan industri minyak sawit.

Industri sawit secara komersil bertapak di Malaysia 100 tahun lalu mulai tahun 1917. Dalam tempoh itu pelbagai pencapaian membanggakan diraih di peringkat nasional dan global.

Tahun lalu, Malaysia menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit dengan jumlah eksport bernilai RM67 bilion.

Industri sawit negara dikenali di seluruh dunia, terutama apabila minyak sawit dan produk sawit Malaysia berjaya menembusi pasaran di lebih 200 negara seluruh dunia.

Hakikatnya, usaha kerajaan Malaysia menangani kempen antisawit yang dilakukan oleh pihak tertentu di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sudah dilaksanakan sejak awal 1990-an lagi.

Pada 1992 contohnya, Kementerian Perusahaan Utama (ketika itu) berusaha menyebarkan fakta saintifik dan kebenaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia ke seluruh dunia dan ia berjaya membataskan usaha pihak terbabit mengadakan kempen antisawit.

Hasilnya, permintaan terhadap minyak sawit oleh negara pengimport kian meningkat setiap tahun.

Awal tahun ini menyaksikan bagaimana sebuah kumpulan pendesak di AS, Union of Concerned Scientists (UCS) mengakui minyak sawit bukanlah faktor yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar dan hutan seperti yang digembar-gemburkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Barat selama ini.

Kenyataan UCS itu adalah berdasarkan laporan Climate Focus yang diterbitkan khas untuk para penandatangan Perisytiharan Hutan di New York sebelum itu yang menyatakan bahawa komoditi seperti kacang soya dan jagung telah mengakibatkan kemusnahan hutan yang jauh lebih tinggi berbanding minyak sawit.

Kajian Climate Focus menunjukkan syarikat minyak sawit memberi komitmen lebih tinggi berbanding mana-mana kumpulan komoditi lain dalam mencapai penebangan sifar hutan, walaupun syarikat sawit berkenaan adalah penyumbang kecil kepada kemusnahan hutan.

Misi lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong ke Kesatuan Eropah (EU) dan Filipina pada Jun lalu membuktikan Malaysia amat serius untuk menembusi lebih banyak pasaran minyak sawit di luar negara.

Di sebalik pelbagai tuduhan negatif yang menyelubungi pasaran sawit di EU, Malaysia terus gigih memberi penerangan dan pemahaman berkaitan pengeluaran minyak sawit mampan.

Kesungguhan Malaysia dalam memastikan produk sawit yang dihasilkan secara mampan untuk pasaran global termasuk di EU turut merangkumi isu keselamatan makanan. Malaysia memberi jaminan bahawa minyak sawit yang dihasilkan adalah yang terbaik.

Malaysia melalui MPOC bekerjasama dengan Indonesia terpaksa bergegas ke Eropah pada Mei lalu semata-mata untuk membantah resolusi EU yang mengaitkan industri sawit dengan kemusnahan hutan.

Parlimen Eropah menerima pakai resolusi mengenai minyak sawit dan pemusnahan hutan hujan yang secara tidak langsung menjejaskan industri minyak sawit negara, khususnya pasaran eksport.

Malaysia melahirkan rasa kecewa terhadap penggunaan resolusi itu untuk menjejaskan industri sawit negara dan menggesa EU menarik balik penolakan Sijil Pengeluar Minyak Sawit Disahkan Mampan (CSPO) atas alasan perladangan kelapa sawit menyebabkan kemusnahan hutan dan perubahan iklim.

Antara kandungan resolusi itu ialah kononnya skim pensijilan yang dikeluarkan sekarang tidak lengkap dan tidak menepati piawaian antarabangsa, terutama dalam aspek kemampanan amalan perladangan.

Selain itu, resolusi berkenaan turut menyatakan pembatalan penggunaan minyak sawit dalam semua program biofuel EU menjelang 2020.

EU adalah destinasi eksport terbesar bagi produk berasaskan minyak sawit dan kelulusan bagi resolusi itu sudah tentu memberi kesan negatif kepada industri eksport minyak sawit.

Rumusannya, sukar untuk organisasi seperti UCS dan NGO Barat menghentikan kempen yang negatif terhadap minyak sawit, apatah lagi untuk memohon maaf atas tuduhan yang dilemparkan kepada industri minyak sawit Malaysia.

Usaha menanganinya harus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memelihara kepentingan pelbagai syarikat yang terbabit dalam industri berkenaan, selain kehidupan 650,000 pekebun kecil di seluruh negara.

* Penulis ialah wartawan digital kanan yang berpengalaman lebih 25 tahun membuat liputan politik dan kepartian

Comments

comments