Senario Pemilikan Rumah Dalam Kalangan Masyarakat Bandar B40 Ke Bawah Di Malaysia

Oleh Kaki Bedal

 

Setiap orang mempunyai idaman rumah masing-masing.

Itu pun bergantung kepada keupayaan pendapatan bulanan sama ada layak atau sebaliknya.

Tidak semudah yang disangka untuk memiliki kediaman yang disasarkan apatah lagi senario ekonomi yang turun naik.

Proses urbanisasi yang pesat telah menyebabkan peningkatan jumlah penduduk di semua bandar di seluruh dunia.

Hal ini mengakibatkan permintaan terhadap perumahan turut meningkat.

Sebaliknya, ruang tanah sedia ada untuk pembinaan rumah telah menjadi semakin terhad akibat persaingan sengit dengan kegunaan tanah lain.

Hal yang sama juga telah menyebabkan harga tanah semakin meningkat dan ini mengakibatkan harga semua jenis hartanah, termasuk rumah, turut naik.

Kesan pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi serta kenaikan harga barang juga telah menyumbang kepada peningkatan berlipat kali ganda harga pelbagai jenis rumah.

Justeru, perkembangan sedemikian dilihat mampu menjejaskan tahap pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat bandar, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Untuk menjadi sebuah bandar yang maju dan mampan, penyediaan perumahan yang mencukupi berserta kemudahan dan infrastruktur berkaitan amatlah penting.

Hal ini juga terkandung dalam Dasar Perbandaran Negara Abad ke-21 (DPN-21), iaitu penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi berasaskan keperluan penduduk.

Isu perumahan dan pemilikan rumah bukanlah perkara baru di Malaysia. Telah banyak kajian yang dilakukan untuk mengupas isu tersebut dalam konteks negara Malaysia.

Berdasarkan tinjauan literatur dan pemerhatian, keadaan semasa menunjukkan isu perumahan masih lagi menjadi masalah
utama dalam pembangunan bandar di negara ini, khususnya isu kekurangan penyediaan rumah bagi masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagi golongan berpendapatan rendah, usaha untuk memiliki rumah adalah salah satu keperluan asas yang melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pemilikan rumah juga menandakan bahawa mereka telah berjaya keluar dari belenggu kemiskinan.

Namun, tahap pemilikan rumah yang rendah dalam kalangan masyarakat bandar berpendapatan rendah di negara Malaysia menunjukkan bahawa masalah kemiskinan masih lagi belum dapat dihapuskan dengan berkesan.

Setiap individu lazimnya berazam untuk memiliki rumah sendiri bagi memenuhi keperluan hidup diri dan keluarganya.

Malangnya, tidak ramai individu yang berpeluang untuk membeli rumah, berikutan timbulnya pelbagai masalah dan halangan, sama ada secara langsung atau tidak.

Antara masalah perumahan bandar di negara Malaysia yang dikenal pasti ialah masalah penawaran rumah kos rendah dan mampu milik yang dilihat masih tidak dapat memenuhi permintaan penduduk bandar di negara ini.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Program Pemilikan Rumah Mampu Milik dan Skim Rumah Mesra Rakyat khusus untuk keluarga miskin, termasuklah ibu tunggal yang tidak mempunyai rumah, namun hakikatnya masih ramai yang tidak mampu membeli rumah.

Perkara ini berlaku akibat kadar urbanisasi yang semakin meningkat di negara Malaysia.

Masalah seterusnya ialah peningkatan harga semua jenis rumah di kawasan bandar. Kenaikan harga rumah yang dirasakan terlalu tinggi membebankan pembeli yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Hal ini dapat digambarkan apabila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA, Real Estate and Housing Development Association) pernah menyarankan supaya kerajaan perlu menyemak semula harga siling rumah kos rendah daripada RM 42,000 (empat puluh dua ribu Ringgit Malaysia) kepada RM 60,000 sebuah, dan kepada RM 75,000 sebuah bagi kawasan Lembah Kelang memandangkan peningkatan kos bahan binaan.

Selain itu, persatuan ini juga pernah meminta supaya diskaun Bumiputera dihadkan kepada lima peratus dan hanya untuk rumah berharga RM 250,000 dan ke bawah.

Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian, pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat bandar, khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah, amat bergantung kepada faktor harga rumah dan sumber pembiayaan yang boleh diperolehi.

Keperluan terhadap perumahan kos sederhana dan rendah masih lagi tinggi di bandar, kerana rata-rata penduduk bandar merupakan golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun, isu kemiskinan dan kemampuan untuk membeli rumah masih lagi menjadi halangan utama penduduk bandar untuk memiliki rumah sendiri.

Oleh itu, kerajaan masih terus perlu membantu penduduk bandar di negara Malaysia dalam mencari sumber pendapatan yang tetap di samping meningkatkan sumber pembiayaan untuk membeli rumah.

Institusi kewangan dan sektor swasta, khususnya pemaju perumahan, mempunyai peranan yang sama penting dengan pihak kerajaan dalam hal ini supaya tahap pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat bandar dapat dipertingkatkan.

Sebagaimana yang digariskan dalam DPN (Dasar Perbandaran Negara) bahawa penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah penting bagi mewujudkan persekitaran bandar yang sejahtera dan mampan.

Comments

comments