KeTTHA, TNB Lancar Program Rumah Cekap Tenaga

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melancarkan Laporan Tenaga Rumah (HER), satu program cekap tenaga yang bertujuan melibatkan dan memperkasakan pelanggan untuk mengurus penggunaan tenaga di kediaman masing-masing dan pada masa yang sama mengurangkan bil elektrik bulanan.

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata HER merupakan program inovatif yang memanfaatkan sains tingkah laku dan analitis data untuk mencapai objektif kecekapan tenaga.

Program ini dibiayai oleh Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik Malaysia dan TNB.

“Ini merupakan fasa kedua program HER, dengan program perintis yang dilancarkan pada Ogos 2015, berakhir pada Julai tahun lepas.”

“Kira-kira 200,000 isi rumah di Lembah Klang, Putrajaya dan Melaka mendapat manfaat daripada program perintis itu, dan meraih minat dan maklum balas positif daripada pelanggan.”

“Ia turut mencapai simpanan lelektrik ebih 13,979 megawatt jam (MWh), bersamaan kira-kira 9,900 metrik tan pengelakan karbon dioksida,” katanya.

Program ini dipertingkatkan dan diperluaskan dalam fasa kedua, menambah fungsi baharu untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan menarik.

Semua pelanggan domestik akan dapat mengakses widget dan peralatan HER melalui portal web perkhidmatan pelanggan TNB, myTNB.com.my.

Di samping itu, lebih 450,000 pelanggan domestik/kediaman terpilih akan mendapat saluran komunikasi tambahan melalui HER bercetak dan e-mel HER (eHER).

Saluran komunikasi menyediakan pelanggan akses kepada maklumat tentang penggunaan elektrik mereka dan membolehkan mereka membandingkan hasil dengan jiran dengan ciri kediaman yang sama.

Program ini juga termasuk Analisis Tenaga Rumah (HEA) bagi membantu pelanggan mengesan perkakasan yang menggunakan jumlah elektrik paling banyak di rumah mereka.

Pelanggan juga akan menerima tip mengenai kecekapan tenaga yang bersesuaian, yang mengambil kira pelbagai maklumat, termasuk tingkah laku penggunaan tenaga sebelum ini serta jenis rumah yang mereka diami. – BERNAMA

Comments

comments