Sains, Teknologi dan Inovasi Aspek Utama Capai Negara Maju – TPM

Oleh Hassan Omar

 

Bagi menjamin Malaysia mampu mencapai negara maju menjelang 2050, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai aspek utama untuk mengatasi masalah.

Ini kerana masyarakat dan negara gagal dimajuan jika STI tidak mampu dimanfaatkan sebagai aspek paling penting dalam penggubalan setiap dasar negara bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap program yang bakal dilaksanakan.

“Kita akan gagal sebagai kerajaan, masyarakat dan negara jika kita gagal memanfaatkan STI dalam melaksanakan mandat kita.

“Penyelesaian hampir semua masalah kita adalah pada sains dan teknologi dan bukannya politik. Di luar sana terlalu banyak sains tetapi kurang dimanfaatkan dan di luar sana terlalu banyak teknologi tetapi kita gagal menggunakannya untuk memajukan bangsa,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan 2017 (NICE 2017) di Taman Teknologi Malaysia (TPM) di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau.

 

 

Ahmad Zahid turut menandatangani plak pelancaran ‘Senior Scientist Network’, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibangunkan pesara kementerian berkenaan dengan matlamat menyumbang bakti dalam bidang STI.

Ekspo selama lima hari yang bermula semalam itu dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung.

Beliau menegaskan, penyelesaian kepada isu dan cabaran global pada masa depan banyak bergantung kepada kemajuan STI dan tahap penguasaan bidang itu.

Antara cabaran perlu dihadapi ialah peningkatan penduduk dunia yang akan mengakibatkan peningkatan permintaan kepada sumber bekalan makanan, air bersih, keperluan perumahan dan pekerjaan, katanya.

Beliau berkata, keupayaan untuk memanfaatkan STI kritikal untuk mengatasi cabaran masa hadapan dan banyak permasalahan memerlukan teknologi sebagai jalan penyelesaian.

“Oleh itu, saya meminta semua kementerian mengambil tindakan sewajarnya berkaitan perkara ini. Saya juga difahamkan MOSTI sedang merangka Pelan Induk STI Negara dan Dasar STI menjangkau tempoh 10 tahun sehingga 2030,” katanya.

Comments

comments