TMJ Mahu Vingada Perbaiki Kesebelasan Utama

Kekalahan kepada Hong Kong tempoh hari membuatkan pasukan kebangsaan terutama sekali Nelo Vingada dikritik hebat.

Dalam satu wawancara bersama Presiden FAM, wakil media bertanyakan pandangan baginda tentang pasukan kebangsaan ketika menentang Hong Kong.

TMJ memberitahu yang baginda tidak meletakkan harapan yang tinggi. Melihatkan kualiti pemain dan kekurangan penggempur di barisan hadapan.

Oleh itu baginda cuba memberikan motivasi dengan bonus RM30,000. Dan baginda percaya bukan baginda seorang sahaja di dunia ini pernah berbuat demikian.

Baginda juga menyatakan yang baginda tidak menggemari kesebelasan utama yang dipilih oleh Nelo Vingada. Pada masa yang sama, pasukan Malaysia bermain dengan 10 orang kira-kira 50 minit perlawanan.

TMJ lebih melihat kualiti Kiko Insa sebagai bek tengah dan bukannya pemain tengah pertahanan. Namun baginda menyatakan ia adalah pandangan peribadi baginda dan secara profesionalnya, baginda tidak mahu menggangu Nelo Vingada dalam isu pemilihan pemain.

Baginda cuma berpandangan yang baginda yakin Malaysia sepatutnya memiliki pasukan yang lebih kuat jika pemilihan pemain dilakukan dengan lebih baik.

Baginda memberikan pandangan peribadi yang baginda lebih menggemari jika pemain tengah muda Pahang yang seorang lagi (tak pasti sama ada Syamim Yahya ataupun Azam Azih) dipilih bermain di tengah berbanding dengan Kiko Insa.

TMJ juga melihat beberapa pemain seperti Fadhli Shas ataupun Fazly Mazlan mungkin harus diberikan peluang tempoh hari kerana prestasi semasa mereka.

Seterusnya, TMJ juga memberikan bayangan yang skuad Malaysia yang sedia ada ini akan menelan lebih banyak kekalahan selepas ini. Buat masa ini, Nelo Vingada masih gagal merasai kemenangan dengan Harimau Malaya.
4 kekalahan daripada 5 perlawanan agak perit untuk diterima.

Menjawab tentang pandangan baginda berkenaan kad merah Safiq Rahim. TMJ mengambil pendekatan tidak menyalahkan Safiq Rahim seorang sahaja. Baginda merasakan semua orang bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut.

Baginda juga hairan dengan beberapa penyokong yang meletakkan kesalahan kad merah Safiq Rahim di bahu baginda.

TMJ memberitahu yang Vingada masih selamat! Amat sukar untuk memecat jurulatih selepas 5 perlawanan. Ia akan mempengaruhi kestabilan pasukan.

TMJ buat masa ini tidak mengharapkan yang skuad Malaysia akan layak ke Piala Asia sebagai KPI utama Vingada. Sebaliknya baginda lebih menumpukan aspek DNA bola sepak.

Pasukan yang dihadapi Malaysia dalam 5 perlawanan terakhir disifatkan TMJ sebagai jauh lebih baik dari segi bola sepak berbanding dengan Malaysia.

Vingada perlu diberikan masa untuk menyemai falsafah bola sepak yang lebih baik dengan mentaliti menang di dalam pemain.

Nelo Vingada dipilih kerana pengalaman beliau serta pilihan terbaik untuk budget yang ada. Baginda juga merasakan Vingada masih dalam proses mempelajari banyak perkara dalam persekitaran baru beliau di Malaysia.

Dalam satu lagi hujah baginda, TMJ memberitahu yang generasi pemain yang sedia ada sudah tamat. Sangat sukar mengharapkan mereka memberikan sesuatu yang lebih besar.

Oleh itu baginda menekankan aspek pembangunan generasi baru seperti NFDP. Pasukan-pasukan lain di rantau Asia Tenggara memiliki program pembangunan yang jauh lebih baik daripada Malaysia.

Baginda memberitahu yang pasukan seperti Thailand, Myanmar, Filipina, dan Indonesia lebih serius dalam isu pembangunan bola sepak mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Manakala, Malaysia masih tidur. – SEMUANYABOLA.COM

Comments

comments