Zamihan Direman Dua Hari Atas Kes Hasutan

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zin direman dua hari bermula hari ini selepas ditahan, petang semalam bagi membantu siasatan kes hasutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, ketika dihubungi BH, tadi mengesahkan perkara itu dan perintah reman ke atas Zamihan dibuat majistret di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

“Reman dua hari sehingga esok,” kata Wan Ahmad Najmuddin.

Semalam, Zamihan yang juga seorang penceramah ditahan pada jam 3.55 petang selepas dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.

Siasatan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung satu ceramah Zamihan di Shah Alam Ahad lalu yang didakwa berbaur perkauman dan menghina Sultan Johor.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata Zamihan akan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib jabatan itu.

Beliau dalam satu kenyataan media malam tadi, memaklumkan pihaknya sudah memanggil Zamihan kelmarin untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.

“JAKIM memandang serius terhadap ceramah disampaikan Ustaz Zamihan Mat Zain, iaitu pegawai kader JAKIMdi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.

“Ceramah beliau yang dimuat naik dalam YouTube didakwa mengandungi unsur kritikan terhadap Sultan Johor.

“JAKIM telah memutuskan untuk merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib untuk tindakan lanjut,” katanya. – BH Online

Comments

comments