Ketamadunan Rakyat Penentu Aras Kemajuan Ekonomi Negara

oleh Kaki Bedal

 

Kalau hendak diukurkan dari aspek ciri-ciri kemajuan ekonomi, sudah tentu kita akan melihat kepesatan pembangunannya.

Satu lagi ciri-ciri yang menjadi pemangkin kemajuan ekonomi adalah kemajuan pemikiran rakyat itu sendiri.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mengalami pembangunan begitu pesat dalam pelbagai aspek, perlu mengutamakan serta memelihara falsafah, nilai dan unsur-unsur kenegaraan sebagai benteng pembinaan negara.

Walaupun tidak sukar untuk memahami falsafah dan proses di sebalik pembinaan negara yang mendukung cita-cita pemimpin dan rakyat untuk bekerjasama serta berganding bahu bagi membina imej dan identiti negara, untuk mencapainya memerlukan komitmen tinggi, usaha gigih dan keazaman yang kuat.

Semua itu perlu dalam usaha melahirkan wawasan dan ideologi negara yang teguh bagi mencapai matlamat, visi, misi dan hala tuju negara apatah lagi menuju kepada Tahun Transformasi Negara 2050 (TN50).

Berdasarkan premis inilah mendorong pemimpin dan negara mengadakan satu transformasi minda di kalangan rakyat dan juga anjakan paradigma yang menekankan kepada falsafah serta nilai kenegaraan.

Ini sebagai mencorakkan perubahan serta kemajuan sesebuah negara, di samping membina suatu imej bangsa Malaysia yang bebas daripada belenggu dan kongkongan penjajah.

Perubahan nilai yang sesuai dengan perkembangan alaf baru akan menentukan perubahan, perkembangan dan kemajuan yang akan dicapai oleh rakyat, bangsa dan negara kita.

Sehubungan itu, kita mesti menyedari bahawa martabat, maruah dan maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya.

Jika rakyat memiliki nilai murni seperti rajin, berdisiplin, tabah, membendung nafsu dan bersedia menghadapi cabaran, maka akan berjaya dan majulah negara itu.

Soal warna kulit, keturunan atau sumber alam bukanlah yang utama dan penentu kejayaan.

Sebaliknya, apa yang menentukan kejayaan atau kecemerlangan ialah budaya dan nilai hidup yang selaras dengan peredaran zaman alaf baru yang diiktiraf, diterima dan diamalkan.

Dalam usaha meningkatkan kepentingan negara, kita harus melihat unsur- unsur yang menjadi asas pembinaan negara, merangkumi falsafah, ideologi politik dan negara dengan mengambil kira pertimbangan masyarakat majmuknya, kebudayaan kebangsaan, bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Selain itu, sistem pendidikan kebangsaan, sistem undang-undang berparlimen, dasar pembangunan dari segi sosial, ekonomi dan sebagainya, rukun negara, dasar luar dan peranan negara kita di arena antarabangsa, perlu mendapat perhatian.

Pembinaan negara berlandaskan kepada nilai kenegaraan itu tidaklah begitu komprehensif jika kita memberi perhatian kepada aspek-aspek seperti soal pengagihan kekayaan negara, memperbaiki ketidakseimbangan taraf hidup dan ekonomi di kalangan pelbagai kaum.

Kita juga perlu bekerjasama meningkatkan taraf hidup, pendapatan per kapita, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar, menyediakan dan memperbanyakkan peluang kepada transformasi dan perubahan sosial, meningkatkan proses pemodenan, memupuk integrasi nasional, membanteras gejala sosial dan membasmi kemiskinan.

Negara kita adalah negara pelbagai kaum dan keturunan yang jika tidak dijaga dengan baik boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi sehingga menjejaskan pembangunan negara.

Cuma masalah yang dihadapi ialah soal interaksi di kalangan rakyat.

Tanpa disedari, rakyat khususnya yang tinggal di bandar sebenarnya tidak mempunyai banyak peluang untuk bercampur-gaul dan menjalinkan persahabatan.

Jika keadaan ini tidak ditangani, keamanan dan kesejahteraan negara mungkin terjejas.

Gagasan pembentukan Malaysia sebagai satu entiti politik harus mengutamakan dan bersandarkan kepada matlamat integrasi dan perpaduan nasional.

Dengan mengambil tindakan sedemikian, kita yakin dalam tempoh terdekat ini, masalah perkauman akan berkubur apabila rakyat tidak lagi menganggapnya sebagai isu yang boleh digembar-gemburkan.

Pembangunan kehidupan yang mapan adalah penting bagi meningkat kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.

Berdasarkan proses ini, kepesatan ekonomi negara harus dipertingkatkan bagi mengekalkan taraf hidup yang lebih tinggi.

Di samping itu, nilai keadilan sosial juga perlu ditekankan dan mendasari wawasan perubahan dan pembangunan masyarakat serta negara, sekali gus mengukuhkan kemampuan negara menghadapi pelbagai cabaran baru, sama ada dari segi rohani, jasmani dan psikologi.

Nilai keadilan sosial perlu dipertahan melalui undang-undang tanpa mengira status, kedudukan dan kuasa seseorang.

Kita juga seharusnya membina dan mengamalkan nilai Malaysia baru yang progresif, berdasarkan perubahan nilai kenegaraan yang akan mencorakkan imej dan identiti Malaysia sebagai bangsa yang dinamik, maju dan serba moden.

Kita perlu menyemaikan nilai murni yang mungkin terlepas daripada genggaman kita akibat ketamakan serta keghairahan kita untuk mengejar kekayaan dan unsur-unsur permodenan.

Oleh itu, minda kita memerlukan anjakan paradigma untuk mengukuhkan jati diri dan membina sahsiah supaya bersikap sederhana serta mengamal nilai kemanusiaan, menghormati dan menghargai ibu-bapa, guru, orang tua, masyarakat dan jiran tetangga.

Selain itu, kita juga harus memiliki semangat cinta dan setia kepada negara hingga sanggup berkhidmat untuk negara atau sedia berkorban kerananya.

Kita mesti bersemangat dan mampu bersaing mengikut arus perubahan kemajuan global dan berdepan dengan cabaran globalisasi yang kini melanda dunia.

Falsafah negara yang berteraskan kepada nilai moral, sosial, politik berhemah, beretika, nilai kenegaraan yang mantap dan sebagainya akan dapat membentuk warga negara yang produktif, bermoral, bermartabat dan bermaruah tinggi.

Semangat sedemikian akan dapat meniupkan kesegaran, kecemerlangan, kegemilangan serta kehidupan kepada bangsa dan negara.

Comments

comments