Bajet 2018: CUEPACS Minta Dua Insentif Baharu Antara 11 Tuntutan

Dua insentif baharu antara 11 tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk dipertimbangkan kerajaan dalam pengumuman Bajet 2018, hujung bulan ini.

Tuntutan itu adalah memperkenalkan elaun bandar raya dan rebat kepada pengguna pengangkutan awam, selain pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM300 sebulan kepada setiap penjawat awam berstatus miskin bandar yang tinggal di kawasan berstatus bandar raya.

Katanya, tuntutan itu adalah relevan susulan keperitan hidup dialami penjawat awam di bandar berikutan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, katanya, CUEPACS mencadangkan pemberian rebat kepada penjawat awam yang menggunakan pengangkutan awam menerusi kad diskaun, berkuatkuasa Januari tahun depan.

“Pemberian rebat ini perlu diberikan kepada semua jenis pengangkutan awam bagi menggalakkan penggunaannya untuk pergi bekerja dan sebagainya, selain membantu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya, mengurangkan perbelanjaan harian serta masa pergi dan balik dari tempat kerja.

“CUEPACS juga berharap pemberian bonus sebulan setengah sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan penjawat awam, memandangkan sudah tujuh tahun kami hanya diberikan bantuan khas kewangan RM500,” katanya pada sidang media khas di Wisma CUEPACS di sini, hari ini.

Azih berkata, semua tuntutan itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal Ogos lalu dan difahamkan, memorandum CUEPACS itu sedang diberikan pertimbangan serius oleh Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, permintaan lain termasuklah memberikan dua kenaikan gaji tahunan, memperbanyakkan pembinaan rumah pada harga RM90,000 hingga RM150,000 khusus bagi penjawat awam serta mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan daripada Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) daripada empat peratus kepada satu peratus.

“Ramai penjawat awam tak mampu miliki rumah sendiri. 100 peratus daripada 30,000 penjawat awam baharu setiap tahun tiada rumah dan selepas lima tahun, mereka masih belum miliki rumah.

Selain itu, 70 peratus penjawat awam sedia ada berusia 50 tahun ke bawah tiada rumah sendiri,” katanya.

Selain itu, cadangan lain adalah kenaikan pelepasan cukai bagi beberapa kategori, antaranya individu (RM9,000 kepada RM18,000), isteri/suami (RM4,000 kepada RM9,000), anak (18 tahun kepada 21 tahun, RM2,000 kepada RM4,000), anak belum berkahwin dan masih belajar (RM8,000 kepada RM12,000) dan perubatan ibu bapa (RM5,000 kepada RM9,000).

CUEPACS turut memohon kerajaan menyemak semula elaun wilayah dan elaun perumahan wilayah bagi penjawat awam di Sabah dan Sarawak berikutan mereka terpaksa menempuhi pelbagai kesukaran berkhidmat di kawasan pedalaman.

“CUEPACS juga memohon imbuhan tetap khidmat awam bagi gred terendah dinaikkan daripada RM95 kepada RM180 memandangkan kali terakhir ia disemak adalah 15 tahun lalu.

“Cadangan lain adalah semua penjawat awam diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggantikan ex-gratia, dengan caruman sendiri serta sedikit bantuan kerajaan.

“Kerajaan juga disaran melaksanakan kenaikan pangkat khas untuk penyandang (KUP) kali kedua untuk penjawat awam gred kanan, dengan kali pertama ditukar daripada 13 tahun kepada 10 tahun, manakala kali kedua selepas lapan tahun,” katanya. – BH Online

Comments

comments