Himpunan Selamatkan Malaysia: Pembangkang Malu Besar – Budiman

Kehadiran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ yang tersasar jauh daripada jangkaan penganjur secara jelas memalukan pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata berdasarkan laporan polis, perhimpunan di Padang Timur, di Petaling Jaya, Sabtu lalu itu hanya mengumpulkan seramai 4,000 orang.

Katanya, laporan media pula menganggarkan kehadiran kurang daripada 10,000 orang, sekaligus menyaksikan kegagalan penganjur menghimpunkan 100,000 orang pada hari berkenaan.

“Himpunan ini diadakan di Petaling Jaya, iaitu negeri yang diperintah pakatan pembangkang atau menurut Menteri Besarnya, (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali, ia di bawah tampuk pemerintah Pakatan Rakyat kerana PAS masih bersama-sama dengan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang jauh daripada sasaran secara jelas memalukan pakatan pembangkang, sedangkan Azmin Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Penganjur utama turut dibarisi Nik Nazmi, iaitu EXCO Kerajaan Selangor dan Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, namun kedua-duanya gagal menarik sokongan orang ramai untuk menyertai perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Budiman berkata, Azmin sebagai pengerusi Pakatan Harapan di Selangor seharusnya malu dengan jumlah peserta perhimpunan berkenaan kerana logik daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sewajarnya menyaksikan pakatan pembangkang tidak berdepan masalah untuk menarik kehadiran orang ramai.

Katanya, dua kerusi Parlimen Petaling Jaya, iaitu Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara merekodkan jumlah majoriti kemenangan parti gabungan pakatan pembangkang melebihi 60,000.

“Sepatutnya, jumlah majoriti ini di Petaling Jaya ini saja boleh memenuhi 60 peratus sasaran mereka, namun Azmin gagal menterjemahkan angka ini.

“Nik Nazmi sebagai Ketua AMK pula seharusnya mencermin muka dengan kualiti kepemimpinannya kerana kehadiran golongan muda yang ‘menyedihkan’ di perhimpunan itu membuktikan beliau tiada pengaruh dalam kalangan belia dan ahli AMK.

“Nik Nazmi perlu sedar bahawa semua perhimpunan pembangkang sebelum ini digerakkan golongan muda, namun kelibat mereka dalam perhimpunan sebelum ini juga langsung tidak kelihatan.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika sebelum ini Nik Nazmi hanya mampu berucap di hadapan ribuan kerusi kosong ketika kongres sayap yang diketuainya.

“Apa yang pasti, Pakatan Harapan tentu merindukan PAS, iaitu parti yang ditalak oleh mereka. Bak kata Pesuruhjaya PAS Selangor (Sallehen Mukhyi), bahawa itulah gambaran awal sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan, walaupun sebenarnya perasaan untuk berhimpun sepatutnya lebih tinggi apabila menghampiri pilihan raya,” katanya. – BH Online

Comments

comments