Data yang dikeluarkan oleh Malaysian Humatarian Center (MHC) di sini menunjukkan 212,343 pelarian telah memasuki Bangladesh sebelum tindakan ganas tentera Myanmar di wilayah Rakhine bermula 25 Ogos lalu.

Apabila tercetus serangan, pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Myanmar, 535,854 orang pelarian telah membanjiri kem pelarian yang dibina sendiri oleh para pelarian di kawasan sekitar sempadan kedua-dua buah negara.

Apabila dicampur dengan pelarian yang telah memasuki Bangladesh sejak ratusan tahun bagi mengelakkan penindasan berterusan dan mereka telah hidup dalam kalangan penduduk setempat jumlah dianggarkan sekitar 1.2 juta orang Rohingya terdapat di sini.

Jurucakap Malaysian Humanitarian Center, Johan Ariff Ismail ketika memberi taklimat kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas serta para peserta delegasi yang menyertai misi kemanusiaan memberitahu keperluan paling mendesak adalah makanan.

Kata beliau, kebanyakan pelarian baru dalam penempatan sementara dan tapak spontan memerlukan bantuan makanan segera.

“Majoriti tanpa bekalan makanan dan bergantung kepada pengagihan kemanusiaan yang masih dipertingkatkan terutamanya di kem-kem yang didirikan secara spontan oleh pelarian.

“MHC sejak beroperasi hanya mampu mengedarkan 3,000 pek makanan yang bernilai RM100,800,” katanya. – UTUSAN ONLINE