Mahasiswa Perlu Ubah Mentaliti Makan Gaji- Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan mahasiswa mengubah mentaliti makan gaji selepas tamat pengajian dan sebaliknya menjadi usahawan yang mampu menawarkan pekerjaan kepada individu lain.

Perdana Menteri berkata mahasiswa perlu mencabar diri untuk memilih bidang keusahawanan yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna.

Misalnya, katanya, usahawan ikon global China, Jack Ma, bermula secara sederhana dalam satu apartmen kecil tetapi hari ini, beliau merupakan pengerusi Eksekutif Alibaba serta merupakan antara tokoh terkaya di dunia.

“Saya percaya bidang keusahawan boleh menjadi pemangkin kepada kekayaan diri sendiri dan negara,” katanya dalam sesi Bicara Santai Bersama Perdana Menteri sempena Malam Gala VEST 2017 (Bakat dan Kemahiran Keusahawan Varsity) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, malam tadi.

Pelakon Fizo Omar tampil sebagai moderator sesi berkenaan yang turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

VEST 2017 merupakan inisiatif KPDNKK bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Ia adalah salah satu program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan pemacu kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai insiatif dan latihan untuk membangunkan generasi TN50 agar sentiasa berkemahiran serta berharap mahasiswa yang terbabit dalam VEST akan menjadi usahawan hebat pada masa depan.

Katanya, mereka mesti mempunyai kesungguhan untuk berjaya dengan memiliki mentaliti juara termasuk di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Justeru , beliau berkata kerajaan sedia menimbangkan bantuan yang boleh diberikan kepada universiti yang menjadi juara.

Dalam pertandingan keusahawan, tiga daripada 10 pasukan yang mara ke pusingan akhir program keusahawan VEST 2017 membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan perdana menteri malam ini.

Universiti Teknologi Petronas yang membawa idea Solvieno iaitu menyediakan 450,000 peluang pekerjaan dalam talian merangkul tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai RM25,000.

Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih tempat kedua dengan pembentangan idea ‘Serdang Cendol’ yang membawa hadiah RM15,000 diikuti RM10,000 oleh UKM dengan ‘Fast Print’. – BERNAMA

Comments

comments