ANALISIS: Rakyat Sudah Letih Dengan Perhimpunan Pembangkang

Oleh Hassan Omar

 

Pakatan Harapan (PH) yang menganjurkan Himpunan ‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, Petaling Jaya minggu lalu mendakwa program itu berjaya menghimpunkan 25,000 orang berbanding jangkaan 100,000.

Bagaimanapun beberapa portal berita melaporkan jumlah kehadiran tidak lebih daripada 8,000 orang manakala Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, jumlah kehadiran hanyalah sekitar 4,000 orang.

Tidak mahu mengalah dengan jumlah kehadiran yang amat menyedihkan itu, Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub menepis anggapan sedemikian dengan menegaskan kononnya program itu tidak mencapai matlamat mengumpulkan 100,000 orang kerana tarikhnya jatuh pada musim cuti persekolahan dan perayaan Deepavali.

Walaupun mengetengahkan pemimpin veteran PH seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka mampu menarik kehadiran ramai pengunjung, ia tetap gagal memastikan ruang Padang Timur dipenuhi ahli dan penyokong PH, terutama belia yang tampak keberatan meluangkan waktu untuk mendengar celoteh pemimpin mereka.

Pada malam perhimpunan itu turut berlangsung perlawanan bola sepak antara Liverpool dengan Manchester United (MU). Sedikit sebanyak ia turut menyebabkan tidak ramai belia mahu bersusah payah berada di padang berkenaan semata-mata untuk mendengar hujah pemimpin PH. Sebaliknya mereka merasakan lebih baik duduk di hadapan peti televisyen untuk menyokong pasukan kegilaan masing-masing.

Seharusnya PH terkesan dengan ketiadaan PAS dalam gabungan kerjasama mereka kerana ketiadaan bayang-bayang jentera pilihan raya dan pemimpin PAS dalam perhimpunan itu menyebabkan program itu menjadi ceramah politik biasa yang lazimnya dihadiri sekitar antara 1,000 orang berbanding keadaan padang yang luas.

Dalam banyak program perhimpunan pembangkang sebelum PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, ahli dan penyokong PAS sememangnya paling aktif mengambil bahagian dalam perhimpunan. Apabila menerima arahan daripada pemimpin parti itu, mereka akan beramai-ramai turun memenuhi kawasan perhimpunan.

Inilah yang dimaksudkan oleh pemimpin PAS sebagai kelebihan parti itu kerana memiliki cawangan di seluruh negara, sama ada di bandar atau luar bandar sejajar dengan usia PAS yang lebih tua berbanding parti pembangkang yang lain.

Fakta yang tidak boleh dinafikan oleh PH ialah kegagalan perhimpunan itu membuktikan bukan sepanjang masa rakyat, termasuk ahli dan penyokong pembangkang sekali pun, sentiasa bersedia untuk meluangkan waktu untuk politik.

Mungkin mereka sudah letih mendengar ceramah politik pemimpin mereka yang asyik melaungkan slogan mahu meruntuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedangkan mereka sendiri belum mampu mengatasi kecelaruan pembahagian kerusi, siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika menang dan seumpamanya.

PH harus sedar kegagalan program berkenaan mencerminkan kehilangan cengkaman hujah politik pemimpin mereka yang semakin hari semakin membosankan rakyat sama ada ahli atau penyokong parti pembangkang dan mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi gemar mengikuti perkembangan semasa, terutama hal berkaitan politik.

Taktik pembangkang menganjurkan perhimpunan demi perhimpunan semata-mata untuk membuatkan rakyat sentiasa mengikuti perkembangan semasa parti pembangkang dan bagi memastikan hasrat untuk menumbangkan BN sentiasa melekat dalam minda rakyat, tidak berkesan lagi berbanding ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula ditubuhkan pada hujung 1990-an dulu.

Sekarang adalah zaman rakyat ingin melihat parti manakah yang mampu menjamin masa depan negara bukan setakat dari aspek politik, malah yang lebih penting ialah ekonomi dan sosial.

Meskipun rakyat disajikan oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan kononnya BN bakal tumbang, mereka masih mampu membuat pertimbangan positif berasaskan logik fikiran dan data serta rekod yang sudah dibuktikan oleh BN sejak negara mencapai kemerdekaan.

Rakyat tidak mahu lagi perhimpunan yang membuang masa. Sebaliknya mereka mahu program pembangunan berteraskan kemantapan dan kestabilan ekonomi yang selama ini sudah disediakan oleh BN walaupun pemimpin BN dicela oleh pembangkang dengan pelbagai tohmahan.

* Penulis ialah wartawan digital kanan yang berpengalaman lebih 25 tahun membuat liputan politik dan kepartian

 

Comments

comments