Jeritan Demi Jeritan Di NOF 5

Berjalan di taman yang menakutkan dengan anak patung tergantung di mana-mana dan kedengaran suara halusnya ‘berbisik’ sesama sendiri sememangnya cukup mengerikan.

Terbayang anak patung itu bergerak atau tiba-tiba menyergah.

Masuk pula ke sangkar dan gua yang gelap. Perasaan saat itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sergahan ‘hantu’ yang memakai baju gaun serba putih saat melalu sangkar gelap itu membuatkan semua menjerit ketakutan.

Bermula dari situ, langkah diperlahankan dan sentiasa berjaga-jaga dengan kebarangkalian ada hantu yang akan tiba-tiba muncul dari depan, belakang, kiri dan kanan.

Itulah antara pengalaman menakutkan yang dirasai penulis dan rakan media lain saat mengembara di Island of The Dolls.

Ingin turut sama merasai ketakutan yang dialami penulis di samping banyak lagi pengalaman mengerikan, Sunway Lagoon menerusi acara tahunannya, Nights of Fright 5 (NOF 5) pasti membuatkan anda tidak henti menjerit!

Saat jam menunjukkan 7.30 malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, Sunway Lagoon bagai menjadi hab perhimpunan hantu dan makhluk ‘jahat’ yang mengerikan hingga 31 Oktober ini.

Mengetengahkan lapan rumah hantu, lima zon ketakutan, 11 tunggangan mencabar dan empat persembahan pentas, NOF 5 nyata menguji keberanian pengunjung.

Memulakan pengalaman menyeramkan di festival ketakutan di Sunway Lagoon ini dengan di taman terbuka yang dipenuhi anak patung di Island of The Dolls yang juga tarikan pelancongan popular dan tragis di Mexico.

Perasaan seram sejuk pastinya akan menyelubungi saat masuk ke Rumah Hantu Ouija dengan pengalaman menakutkan dan penuh misteri di rumah Mr E.J Bond Esquire.

Sesudah itu, siapkan diri anda dengan kematian di Day Of The Dead In 3D apabila anda akan terdedah kepada fenomena kehidupan orang mati.

Melangkah masuk ke Dystopia, ia akan membawa pengunjung merasai sendiri pengalaman mengerikan di bilik rawatan menakutkan dan penuh kejutan yang boleh dilihat pada 2147.

Di Dystopia, pengunjung akan dipaparkan dengan kesengsaraan manusia, penindasan, penyakit dan kesesakan di hospital berhantu yang cukup mengerikan.

Di sini juga, pengunjung akan melihat bilik rawatan pesakit yang mengerikan dan menakutkan apabila pesakit disimpan di bilik berasingan sementara doktor menentukan rawatan mereka.

Kemudian, beralih ke Pontianak vs Pocong yang mengetengahkan pertempuran klasik kekasih yang kembali sebagai seorang puntianak dan suami yang tidak setia sebagai pocong.

Temui juga watak filem yang paling menakutkan sepanjang masa yang akan hidup dan meraikan malam ketakutan di Horrorwood Studios.

Jika anda rasa tidak cukup berani, masuk ke Zombie Apocalypse dengan hanya melarikan diri sebaik saja melangkah masuk ke alam selepas kematian yang akan menunjukkan kepada anda ketakutan yang paling ngeri.

Di The Ghostbusters Adventure LIVE! turut memberikan suasana seram yang tersendiri.

Jangan merasakan diri anda sudah cukup berani sebelum memasuki Forest Of Fear. Berjalan melalui batu nisan yang berlainan dan pokok berhantu membuatkan perjalanan anda di dalam hutan yang terdedah dengan banyak kejutan terutama pertemuan dengan hantu pocong dan puntianak.

Pernah tertanya-tanya apa yang berlaku di Penjara Pudu? Saksikannya secara langsung apa yang berlaku di penjara itu ketika berjalan melalui Jugement Lane tempat anda akan diberikan gambaran paling dekat mengenai bagaimana tahanan digantung.

Hantu yang berkeliaran dengan tatarias di muka dan pakaian yang menakutkan juga akan membuatkan pengunjung bagai berada di dalam dunia hantu.

Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo berkata NOF 5 adalah acara penting dalam kalendar Sunway Lagoon dan seluruh pasukan komited untuk memperbaiki dan menjadikannya ia menarik setiap tahun.

“Untuk tahun ini, kami menampilkan tarikan baru dengan tahap ketakutan yang sangat berbeza untuk semua dan kami jamin, tiada pengunjung yang akan pulang tanpa menjerit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif The Sudden Impact! Entertaiment Company, Lynton V Harris berkata, pasukannya menyuntik peristiwa dan mitos benar yang diilhamkan oleh cerita seram Asia untuk mewujudkan pendekatan menarik. -HMETRO ONLINE

Comments

comments