KPN: Dr Mahmud Anggota Daesh Masih Hidup

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan rakyat Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina masih hidup.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun, berkata maklumat mengenai bekas pensyarah itu diterima daripada Kementerian Pertahanan Filipina berdasarkan laporan perisikan di Marawi, Filipina

“Kami sentiasa berhubung dan bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa di negara berkenaan dalam usaha memerangi aktiviti kumpulan pengganas DAESH,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, Mahmud dan seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Mohd Amin Baco dipercayai berada di Marawi, iaitu kawasan yang dikuasai Ispilon Hapilon.

Sementara itu, dua pemimpin kumpulan militan Daesh iaitu Ispilon Hapilon dan Omar Maute dipercayai antara yang terbunuh dalam serangan oleh pihak berkuasa Filipina susulan serangan sejak 23 May lalu.

Kementerian Pertahanan Filipina, mengesahkan kematian Ispilion dan Maute itu hari ini, namun masih belum mengeluarkan butiran terperinci berhubung serangan yang menyebabkan kedua-dua mereka terkorban.

Kedua-dua mereka sebelum ini adalah ketua kepada kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan kumpulan Maute, yang mula bergabung sejak pertengahan tahun ini bagi memperkuatkan kumpulan militan Daesh khususnya di selatan Filipina. – BH Online

Comments

comments