‘Sanjung Teguran Sultan Johor’ – Jamil Khir

Kerajaan menyanjung tinggi pandangan, nasihat dan teguran Sultan Johor berhubung isu pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina baginda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pihaknya sudah menghantar surat permohonan untuk menghadap Sultan Ibrahim Iskandar dan kini menunggu titah baginda.

“Kita sudah menghantar surat dan menunggu titah Tuanku (untuk menghadap). Kita menyanjung tinggi pandangan, nasihat dan juga teguran Tuanku dan akan menunggu titah minta kebenaran bila kita akan menghadap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2017, di Kota Kinabalu semalam.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Mohd Ariffin Arif dan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, pihaknya mendengar titah yang disampaikan Sultan Johor sebelum ini berkaitan hubungan di antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Sebelum ini, JAKIM dalam kenyataannya memaklumkan akan mengutus surat mohon mengadap dan menyampaikan permohonan maaf kepada Sultan Johor.

Ia bertujuan menjelaskan situasi sebenar isu Zamihan Mat Zin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Ibrahim ketika menyampaikan ceramah mengenai isu dobi mesra Muslim seperti tersebar di media sosial.

Kelmarin, Sultan Ibrahim bertitah supaya JAINJ berhenti berurusan dengan JAKIM yang juga diminta tidak perlu lagi memberi pandangan kepada Johor membabitkan hal ehwal agama Islam.

Pada 11 Oktober lalu, JAKIM merujuk Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) kepada Lembaga Tatatertib jabatan, namun hasil siasatan belum diputuskan. – BH online

Comments

comments