Bajet 2018 Perlu Fokus Isu Kos Sara Hidup B40, M40

Langkah menangani isu kos sara hidup kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus sederhana (M40) perlu diberi tumpuan dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan pada 27 Oktober ini.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Dr K Kenneth Eswaran, berkata rakyat mengharapkan mekanisme penyelesaian isu harga rumah yang mahal, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga barang perlu dilaksanakan.

“Mekanisme menangani peningkatan kos sara hidup, terutama dalam kalangan kumpulan M40, perlu diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018,” katanya ketika ditemui selepas majlis Rumah Terbuka Deepavali MAICCI di Sentul, di sini, hari ini.

Eswaran berkata, pihaknya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan akan melaksanakan langkah wajar untuk membela kumpulan B40 dan M40.

“Saya mengenali Perdana Menteri sebagai seorang yang mendengar denyut nadi rakyat setiap kali membentangkan belanjawan negara dan yakin momentum itu akan berterusan dalam Bajet 2018,” katanya. -BH ONLINE

Comments

comments