Filipina Tahan Balu Militan Cuba Rekrut Pelampau

Penguat kuasa undang-undang Filipina menahan seorang wanita yang cuba menyebarkan idea radikal dan merekrut beratus warga asing bagi membantu militan pro-Daesh yang mengepung Marawi, bandar di selatan negara itu.

Setiausaha Kehakiman Vitaliano Aguirre berkata hari ini, Karen Aizha Hamidon, balu bekas pemimpin kumpulan pelampau kecil Mindanao, ditahan ejen khas di rumahnya di pinggir ibu kota ini seminggu lalu dan didakwa menghasut keganasan.

Katanya, wanita itu dituduh menggunakan media sosial dan aplikasi mesej bagi menggesa warga asing menyertai kepungan oleh pengikut setia pakatan Daesh di Marawi, pertempuran yang berlangsung hampir lima bulan.

“Tentera mengatakan, konflik itu, krisis keselamatan terbesar selama bertahun di Filipina kini di peringkat akhir dan sudah mengorbankan lebih 1,000 orang, kebanyakannya pemberontak.

“Ini adalah satu perkembangan amat dialu-alukan dalam pertempuran menentang keganasan,” kata Aguirre.

Ejen mendapati, Karen menulis 296 pesanan dalam ruangan sembang di Telegram dan WhatsApp, ‘menggesa Muslim di Filipina, India dan Singapura supaya datang ke Marawi untuk menubuhkan wilayah Daesh seperti di Iraq dan Syria.’

Ada juga 250 nama, kebanyakannya warga asing dalam buku telefon yang disyaki golongan bersimpati dengan Daesh.

Memakai burka hitam, Karen ditunjukkan kepada media namun tidak dibenarkan bercakap. Komputer riba, telefon bimbit dan barangan elektronik diteliti pakar untuk siasatan forensik.

Karen, seorang mualaf, berkahwin dengan Mohammad Jaafar Maguid atau Tokboy, bekas pemimpin kumpulan radikal Ansar Al-Khilafa yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis Januari lalu.

Aguirre berkata, wanita itu juga dikaitkan dengan pelampau Singapura dan Australia, kedua-duanya ditahan di negara masing-masing. -REUTERS

Comments

comments