Ukiran Inai Jana Rezeki

Mungkin pada era 70-an atau 80-an, kebanyakan wanita yang bergelar suri rumah memilih untuk tidak memikirkan kaedah menjana pendapatan sendiri. Mereka lebih cenderung menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada suami.

Namun situasi itu kini jauh berbeza apabila hampir semua wanita memilih untuk cuba berdikari dan menjana pendapatan sendiri melalui pelbagai kaedah atau cara bersesuaian dengan kebolehan diri.

Faktor kesibukan menguruskan hal rumah tangga dan anak antara penyebab utama golongan itu sering membantutkan hasrat memiliki ‘duit poket’ sendiri.

Golongan ini juga sering tercari-cari pekerjaan bersesuaian dan yang pasti biarlah ia sesuai dengan status diri selain tidak mengganggu rutin harian seorang isteri serta ibu.

Berusaha membantu suri rumah, ibu tunggal mahupun wanita yang mahu menjana pendapatan sendiri, Spa Mawar Putih menganjurkan kelas ukiran inai istimewa merangkumi semua aspek berkaitan seni berkenaan.

Menurut pengasas program, Ruzita Jamaludin, ukiran inai dipilih disebabkan ia antara cara terkini paling mudah untuk menjana pendapatan sampingan dan sesuai dilakukan wanita.

“Kemahiran melukis inai amat praktikal dan ilmu itu boleh digunakan sebaik mungkin memandangkan harga dan permintaannya juga kian meningkat hari demi hari.

“Ia juga sudah menjadi antara perkara yang mesti dilakukan setiap pengantin dan seisi keluarga menjelang hari bahagia mereka,” katanya.

Menurutnya, permintaan yang tinggi menjadikan kemahiran melukis inai cukup relevan dalam membantu wanita menjana pendapatan sendiri tanpa mengira masa.

“Saya sentiasa memikirkan kaedah yang dapat membantu wanita menjana pendapatan sendiri dan kelas ini diadakan bagi membimbing mereka untuk memperoleh kemahiran melukis inai.

“Bukan saja kemahiran, kami juga memberi penerangan yang jelas kepada setiap peserta mengenai hukum pemakaian dan lukisan inai dari sudut agama serta pelbagai perkara berkaitan sebagai bekalan ilmu untuk peserta,” ujarnya.

Kemahiran ubah kehidupan

Memfokuskan penyertaan dalam kalangan suri rumah dan ibu tunggal, penganjuran kelas ukiran itu menekankan kaedah pembelajaran dalam suasana santai bagi memastikan setiap peserta dapat memahami ilmu diajar dengan mudah.

Menurut Ruzita, dengan penganjuran kelas selama sehari bermula pagi hingga petang itu, setiap peserta diajar pelbagai jenis lukisan inai daripada guru berpengalaman.

“Kelas diadakan di Puchong dan yuran dikenakan adalah RM150. Saya jamin ia berbaloi untuk dicuba dan peserta tidak akan diajar dalam suasana tertekan.

“Setakat ini, semua peserta yang mengikuti kelas berpuas hati dengan ilmu yang diterima dan kemahiran itu perlu diamalkan sebaik mungkin bagi memastikan hasil lukisan inai dilakukan semakin baik,” katanya.

Ruzita berkata, selain ilmu dalam bentuk teori yang diajar, peserta turut diminta melukis inai di tangan peserta lain ketika kelas diadakan.

“Kelas ini amat menyeronokkan. Saya akan beri pengenalan mengenai inai, menerangkan jenis inai yang biasa digunakan oleh pengukir inai, cara pemilihan inai yang betul serta mempelajari kaedah membuat kon inai dengan betul.

“Selain itu, saya juga akan turut menerangkan mengenai cara membungkus inai, pemilihan saiz kon yang sesuai mengikut keselesaan individu, cara memegang kon inai dengan betul dan membimbing peserta melukis pelbagai jenis ukiran inai dengan betul dan cantik,” ujarnya.

Kata Ruzita, setiap peserta juga diberikan serbuk inai daun asli Gred A untuk membuat bancuhan inai rambut, minyak inai, inai kon, kertas kon, buku asas ukiran inai berserta tutorial ukiran inai dan sijil.

“Memiliki kemahiran ini amat berbaloi memandangkan harga perkhidmatan melukis inai, khususnya untuk pengantin amat tinggi dan ia pasti membantu wanita menjana pendapatan yang memuaskan.

“Pada masa sama, perkhidmatan melukis inai ini boleh dilakukan pada waktu sesuai dan ia tidak mengganggu tugasan harian sebagai suri rumah atau menguruskan anak,” katanya.

 

Perlu konsisten

Memandangkan kelas dijalankan dalam suasana santai, peserta berpeluang berkenalan dan bertukar idea serta pengalaman mengenai ukiran inai dan sebagainya.

Antara peserta kelas lukisan inai, Sharifah Nuralia Syed Danial berkata, dia amat berpuas hati dengan penganjuran kelas ukiran inai itu kerana kaedah pengajaran dilakukan dalam suasana yang menyenangkan.

“Setiap apa yang diajar dapat difahami dengan mudah dan kami langsung tidak tertekan sepanjang kelas diadakan. Cara penerangan juga sangat jelas dan ia membolehkan kami belajar dengan lebih mudah,” katanya.

Sementara itu Ruzita menambah, kelas yang diadakan Ogos lalu mendapat sambutan menggalakkan dan pihaknya merancang untuk mengadakan kelas seterusnya Disember ini.

“Sebenarnya, kelas tidak hanya tertumpu kepada suri rumah dan ibu tunggal saja, tetapi boleh disertai wanita yang mahu menjana pendapatan. Cuma kami lebih mengutamakan dua golongan berkenaan.

“Pengisian kelas akan datang juga akan lebih menarik dan terperinci untuk memastikan setiap peserta pulang dengan kemahiran lengkap,” ujarnya.

Jelas Ruzita, dia komited memastikan objektif penganjuran kelas itu tercapai dan peserta dapat pulang dengan kemahiran baru.

“Kemahiran ini amat berguna untuk wanita. Saya yakin, sekiranya ia dilakukan dengan betul dan konsisten, hasil pendapatan diperoleh amat berbaloi. Perkara paling utama adalah kerajinan dan semangat untuk terus berusaha menghasilkan ukiran inai yang cantik dan kreatif,” katanya. -HMETRO ONLINE

Comments

comments