ANALISIS: Bajet 2018 – Semua Golongan Rakyat Menghirup Kenikmatan

Oleh Hassan Omar

 

Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana dihidangkan dengan Bajat 2018 yang merangkumkan keprihatinan untuk seluruh anggota masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan pegangan politik masing-masing.

Bak kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bajet kali ini menyaksikan terhimpun dan terungkap di dalamnya pelbagai premis yang menjadi asas kepada sebuah bajet komprehensif.

Hal ini dibuktikan melalui keprihatinan Kerajaan BN mengambil kira kepentingan bayi yang masih dalam kandungan hingga dilahirkan, selain urusan masa hadapan negara.

Dapat dilihat, sejak Najib mengambil alih tampuk kepemimpinan negara, bajet kali ini lebih bersifat holistik, sarat dengan falsafah dan secara peribadinya boleh ditandai dalam sejarah negara.

Selain itu, bajet kali ini juga adalah yang paling inklusif pernah dipersembahkan dalam memenuhi tuntutan ‘Dharuriyyat’ (hidup dan mati), ‘Hajjiyyat’ (fizikal dan rohani) dan ‘Tahsiniyyat’ (kemudahan dan keselesaan) untuk kesejahteraan kehidupan rakyat, sekali gus memakmurkan negara.

Bajet 2018 mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Dengan menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, Kerajaan BN mahu rakyat Malaysia menjadi bangsa yang bukan setakat hebat fizikalnya, malah kaya jiwa dan pekertinya, iaitu ‘Par Excellence Duniawi dan Ukhrawi.’

Bajet itu juga menyaksikan di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM79.15 bilion adalah untuk emolumen dan RM33.62 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan manakala sebanyak RM119.82 bilion adalah untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap manakala perbelanjaan lain pula diperuntukkan RM1.08 bilion dan RM577 juta untuk pembelian aset.

Dari aspek politik, Bajet 2018 mampu menghapuskan segala bentuk keraguan terhadap kemampuan BN mentadbir negara yang cuba dipolemikkan oleh pembangkang.

Sebaliknya, pembangkang harus terpukul dengan pembentangan bajet berkenaan kerana selama ini, pembangkanglah yang hakikatnya berada dalam keraguan. Mereka ragu dengan kepemimpinan mereka, curiga-mencurigai antara satu sama lain dan saling guna-memperguna sesama sendiri.

Rakyat harus menilai secara rasional Bajet 2018 untuk sekali lagi memberikan kepercayaan kepada BN untuk mentadbir negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi.

Usaha menyediakan bajet yang seimbang tidak mungkin mampu disediakan oleh BN tanpa keprihatinan dan rasa bertanggungjawab ke atas nasib setiap golongan masyarakat di negara ini.

Comments

comments