RENCANA : Mendaki Gunung Perlu Ilmu Dan Persiapan Rapi

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

 

Aktiviti mendaki gunung semakin menjadi pilihan khususnya dalam kalangan anak muda sebagai pilihan riadah untuk menguji tahap kecergasan fizikal serta mental setiap hujung minggu atau musim cuti.

Kepuasannya sudah tentu apabila berjaya mendaki sampai ke puncak!

Antara lokasi popular untuk kegiatan pendakian di Negeri Sembilan ialah Gunung Datuk, yang terletak di daerah Rembau. Gunung yang mempunyai ketinggian 885 meter dari aras laut ini dikatakan puncak tertinggi di daerah Rembau.

Gunung yang terkenal dengan panorama yang cantik serta pelbagai spesies flora dan faunanya menjadi pilihan kaki pendaki memandangkan lokasinya yang mudah diakses melalui jalan raya.

Sebagai contoh dari bandar Seremban perjalanan untuk ke Gunung Datuk mengambil masa kira-kira 45 minit (50km).

Pendakian ke puncak Gunung Datuk dari kaki gunung akan mengambil masa dua jam dan sekiranya cuaca baik, pendaki berpeluang menikmati keindahan pemandangan laut Selat Melaka dari puncak gunung.

DALAMI ILMU

Sebelum melakukan sebarang pendakian, persediaan rapi perlu dilakukan terutamanya bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.

Langkah itu untuk memastikan pendaki tidak ditimpa musibah seperti sesat di kawasan pendakian.

Mengikut laporan, banyak juga berlaku kes pendaki dilaporkan sesat atau hilang termasuk yang melibatkan pelajar universiti ketika mendaki Gunung Datuk ini.

Bernama baru-baru ini berkesempatan menemu bual bekas setiausaha Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Khairil Hafidz Khairuddin, 35, yang berkongsi beberapa panduan untuk pendaki.

Beliau, yang juga seorang pendaki berpengalaman, berkata mereka yang baru menceburi bidang berkenaan perlu mendalami dulu ilmu pendakian serta membuat beberapa persiapan rapi sebelum mendaki.

Ini termasuk persediaan mental yang lebih kuat daripada fizikal, mampu membuat sebarang jangkaan keadaan tidak terkawal antaranya sesat serta memastikan bekalan serta peralatan yang dibawa mencukupi termasuk khemah jika perlu bermalam.

“Pendaki perlu tahu jumlah masa yang diperlukan untuk mendaki.

“Jika perlu bermalam pastikan bawa makanan tambahan atau bawa makanan untuk lebih daripada dua hari. Ubah cara makan semasa mendaki iaitu tidak seperti cara kita makan harian biasa.

“Lihat contoh pasukan tentera ketika di hutan, walaupun makanan ringkas tetapi cukup untuk sumber tubuh badan.

“Jadi, tak perlu fikir nak buat parti BBQ ketika mendaki. Bawalah yang paling mudah disediakan dan senang dimakan ketika mendaki,” katanya kepada Bernama.

BAWA PERALATAN SECUKUP

Amalan menghirup sup sebelum mengambil makanan berat juga antara perkara yang perlu dititik beratkan pendaki kerana ia mampu membolehkan badan mendapat rehat yang berkualiti secara berperingkat, katanya.

“Sebab itu disaran menghirup sup sebelum ambil makanan berat. Jika terus makan makanan berat, kemungkinan sukar untuk tidur.

“Tidur yang tak cukup akan mengganggu rentak pendakian keesokan harinya,” tambah Khairil Hafidz yang pernah menyertai pelbagai ekspedisi mendaki gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung yang didaki di luar negara ialah Kilimanjaro (Tanzania), Damavand (Iran), Kosciuszko ( Australia) dan Kahiltna Dome (Alaska) sementara di dalam negara ialah Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Yong Yap, Gunung Ledang, Gunung Santubong dan Gunung Kinabalu

Menurut beliau, pendaki perlu memberi perhatian serius kepada penyediaan peralatan asas seperti mancis, pemetik api, tali tahan lasak, air, beg dan pakaian yang sesuai.

“Untuk pendakian, seseorang pendaki perlu membawa beg yang bergalas dan adalah lebih baik beg berkenaan mempunyai ciri ?back support’ bagi memastikan aktiviti pendakian berjalan lancar.

“Selain daripada peralatan di atas, pendaki juga boleh membawa peralatan peribadi seperti lampu suluh, ubat-ubatan serta sedikit wang saku,” katanya.

LANGKAH UNTUK ELAK SESAT

Khairil Hafidz berkata seseorang pendaki perlu peka dengan keadaan persekitarannya bagi memastikannya tidak tersasar atau sesat ketika membuat pendakian .

Bagi yang mendaki secara berkumpulan pula, perlu memastikan jumlah ahli adalah sama ketika bermula sebaik sahaja tiba di lokasi ‘check point’ tertentu.

“Pengalaman saya sendiri pernah sesat semasa mendaki Trans Titiwangsa. Saya mula menyedari sesat selepas dua jam terpisah dari kumpulan besar yang mengakibatkan saya dan pemandu arah terpaksa bermalam di tengah hutan belantara.

“Kami mula tersedar sesat apabila tersalah rentas sungai menyebabkan tak dapat lagi mendengar suara rakan di belakang. Jadi, apabila sedar, kami mula berpatah balik ke laluan awal.

“Antara tanda yang boleh digunakan adalah torehan pada batang pokok ketika mula mendaki dan jika sesat carilah pokok yang kita tandakan dan itu bermakna kita berada dalam trek yang betul.

“Kami bangun seawal pagi untuk mengejar semula kumpulan,” katanya.

Beliau menasihatkan pendaki supaya usah panik dan takut sekiranya tersesat kerana perbuatan mencari jalan pulang ketika malam hari akan menyebabkan seseorang pendaki itu tersasar jauh daripada laluan sebenar.

“Dalam keadaan penat serta emosi yang bercampur baur, biasanya akan menjadikan situasi lebih teruk jika anda terus mencari kumpulan atau jalan keluar pada waktu itu. Ini antara sebab sesat yang tak dapat jumpa semula keesokannya,” katanya.

Pun begitu, pendaki yang membawa telefon bimbit bersama adalah digalakkan untuk menghantar lokasi terakhirnya kepada pasukan penyelamat sekiranya sesat dan mengalami kecederaan.

“Pendaki perlu duduk di situ sehingga bantuan tiba.

“Operasi pencarian akan menjadi lama sekiranya pendaki menghantar koordinat terakhirnya dan kemudian dalam masa yang sama cuba mencari sendiri jalan keluar.

“Apabila pasukan penyelamat tiba, pendaki berkenaan tiada dilokasi yang dihantar,” katanya.

WAKTU SESUAI MENDAKI

Mengenai waktu yang sesuai untuk mendaki, Khairil Hafidz berkata waktu awal pagi sekitar 6.00 atau 7.00 pagi adalah waktu yang terbaik.

Beliau juga mengingatkan sebelum mendaki, pendaki perlulah mengumpul segala maklumat berkaitan gunung yang menjadi sasaran pendakian termasuk tempoh masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak dan bentuk laluannya.

“Perancangan ini penting. Sebagai contoh jika pendakian untuk sampai ke puncak memerlukan masa empat hingga lima jam, bermakna pendaki perlu membuat keputusan sama ada untuk mendaki secara balik hari atau bermalam.

“Kalau balik hari bermakna selepas sahaja sampai ke puncak, pendaki perlu segera berehat sekitar setengah jam dan mula menyusun langkah untuk turun kerana bimbang keadaan akan bertambah gelap dan berisiko untuk sesat dan kecederaan.

“Jika terlalu lama masa yang diambil di puncak, adalah lebih baik pendaki bermalam sahaja di situ dan pulang keesokan harinya. Bagi yang berkumpulan, ketua kumpulan perlu memainkan peranan menentukan had masa di sesuatu check point,” katanya.

 

  • Penulis adalah pewarta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Comments

comments