Nilai Wasatiyyah Dalam Akidah

HUBUNGAN manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.

Pertengahan dan kesederhanaan bukanlah melakukan suatu perkara secara tidak sempurna, tetapi melakukan sesuatu dengan sempurna, cukup syarat, mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak melampau mahupun mengurangi sesuatu perkara.

Dalam keadaan inilah, akidah Islam mengutarakan mesej jalan pertengahan dan kesederhanaan, antaranya, menegah sikap melampau umat terdahulu dalam berakidah dinyatakan dalam Surah al-Nisa ayat 171.

Selain itu, menolak dakwaan tidak wujudnya Tuhan dan anggapan kehidupan dunia ini terjadi secara kebetulan seperti dalam Surah al-Jaathiyah ayat 24.

Juga menolak adanya banyak tuhan, mensyirikkan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain. Allah itu Esa yang selayaknya disembah seperti dalam Surah al-Ikhlas ayat 1-4.

Menolak kepercayaan animisme yang mempercayai semangat dan kuasa ghaib serta pemujaan hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu sesuatu objek seperti dalam Surah al-Jin ayat 6-10.

Mengubah pandangan masyarakat daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewi kepercayaan, tahyul dan animisme kepada mempercayai Tuhan yang Esa, nabi, rasul, malaikat dan kitab suci seperti dalam Surah al-Ra’d ayat 11.

Keimanan diikuti dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 177.

Kehidupan berteraskan rasional, intelektual

Terakhir ialah membawa pemikiran masyarakat kepada kehidupan berteraskan rasional dan intelektual. Al-Quran mengungkapkan banyak ayat memerintahkan penggunaan akal dengan sebaiknya. Lafaz tafakkur (berfikir), nazor (perhati), tabassur (melihat), tadabbur (merenung), tafaqquh (faham), tazakkur (ambil peringatan secara mendalam), i’tibar (mengambil pengajaran) dan sebagainya diulang-ulang dalam usaha membimbing dan mengisyaratkan manusia menggunakan akal, berfikir dan membuat pertimbangan sebaiknya dalam mengenal pasti kebenaran dan kesesatan.

Pendekatan wasatiyyah menyeimbangi pandangan dalam mengambil sumber akidah, antaranya:

  • Golongan salafi ekstrem menolak perbahasan aqli dalam menetapkan kebenaran aqidah Islam, apatah lagi perbahasan saintifik dalam kalangan umat Islam hari ini. Mereka terlampau rigid menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan al-Sunnah. Golongan yang menyalahi mereka dianggap sebagai ahli bidaah dan menyeleweng daripada akidah.
  • Golongan liberal berpegang kepada kebebasan melampau menggunakan akal walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia.
  • Golongan sufi mengambil sumber akidah menerusi pengalaman kerohanian seperti ilham, kasyaf, mimpi, yaqazah dan lain-lain.

Pendekatan wasatiyyah berada di jalan pertengahan yang tidak menerima atau menolak secara membuta tuli, tetapi memerlukan pemikiran yang boleh diterima menurut fitrah manusia.

Ambil kira fungsi akal

Pendekatan wasatiyyah berpegang teguh meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama tetapi pada masa yang sama mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai pendokong wahyu. Akal tidak boleh melebihi kemampuan sehingga mengatasi kesucian wahyu.

Akal dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan ulama silam yang berautoriti. Pendekatan wasatiyyah tidak menolak amalan sufi dan tasawuf dalam memperkukuhkan agama selagi sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam konteks di Malaysia, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebagai akhlak dalam kehidupan.

Pertama, meraikan pengajaran aqidah yang mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian dengan latar belakang aqidah pegangan umat Islam iaitu aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Kedua, pengajaran aqidah memberi fokus kepada perkara yang jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama.

Ketiga, bertegas dalam isu menyalahi akidah, tidak mudah mengkafir, membidaah atau fasiq pada persoalan yang khilaf sesama ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Keempat, membawa penekanan kepada pendekatan menjawab kemusykilan masyarakat seperti perbincangan kewujudan Allah dan keesaan-Nya, kenabian, kehidupan selepas mati, qada dan qadar dan sebagainya secara hikmah dan bijaksana yang menarik minat masyarakat.

Kelima, menolak pelbagai aliran semasa seperti fahaman sekularisme, materialisme, hedonisme, liberalisme dan pluralisme agama.

Keenam, memperbanyak pengajaran akidah ‘amaliyyah (praktikal) yang membawa kepada akhlak yang baik dan tekun beribadah melalui ibadah solat, puasa, zakat, haji, sedekah, jihad dan sebagainya seiring bersama perbahasan aqidah nazariyyah (teori) yang memerlukan penelitian mendalam mengenai persoalan-persoalan dalam agama.

Bentuk pendekatan ideal

Akidah Islam membentuk pendekatan ideal, sesuai dan harmoni yang menjadi sumber perpaduan dan kekuatan masyarakat ketika zaman Rasulullah SAW dan sahabat RA, bukan punca perpecahan. Akidah yang benar membentuk sebaik-baik manusia mentaati Allah, tidak membangkitkan perdebatan antara ahli ilmu dan membingungkan masyarakat awam yang kurang mengetahui.

Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi kehidupan Muslim dalam ibadah, munakahah, muamalah, jinayah dan siyasat al-daulah.

Pendekatan wasatiyyah manhaj terbaik, tidak menolak secara bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di samping bersikap terbuka memberi peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama dan aqidah seperti dinyatakan dalam nas.

Pendekatan wasatiyyah tidak terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa yang lebih utama. — BH Online

 

  • Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Comments

comments