Dr Mahathir Jumpa Zahid Esok (Isnin)

Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, esok (Isnin).

Pertemuan yang dijangka disertai beberapa pemimpin gabungan pembangkang itu, dipercayai bagi membincangkan mengenai status pendaftaran Pakatan Harapan sebagai gabungan politik yang sah.

Ia bakal berlangsung pada jam 11 pagi di Kementerian Dalam Negeri, dan satu sidang media akan diadakan selepas pertemuan itu.

Pertemuan itu juga berkemungkinan menyentuh mengenai isu dibangkitkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), berhubung kemungkinan PPBM diharamkan pendaftarannya kerana melanggar perlembagaan parti.

Gabungan pembangkang menghantar draf perlembagaan Pakatan Harapan kepada ROS pada 24 Julai lalu, disusuli logonya pada 28 Julai, namun diarahkan untuk mengubah logo terbabit.

Pada 11 September, Dr Mahathir dilaporkan berkata, gabungan pembangkang itu belum menerima sebarang maklum balas mengenai status pendaftaran itu serta logo baharu yang sudah dihantar semula.

Isu berhubung pelanggaran perlembagaan PPBM pula membabitkan tiga kesalahan, iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) secara tidak sah, dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Comments

comments