KKLW Peruntuk RM10 Juta Lahirkan Usahawan Belia Luar Bandar

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM10 juta untuk melahirkan kira-kira 1,000 usahawan belia luar bandar melalui program ‘MobilePreneur’ tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata belia yang mempunyai kemahiran dalam salah satu daripada 13 bidang iaitu automotif, elektrikal, penghawa dingin, kecantikan, jahitan, gunting rambut, motosikal, kimpalan, komputer, fotografi, elektronik, selenggaraan paip dan selenggaraan bangunan, layak menyertai program itu.

“Peserta berumur antara 18 dan 45 tahun serta mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 boleh membuat permohonan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan ‘MobilePreneur’ peringkat Kelantan di Bukit Tiu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 70 peserta masing-masing menerima bantuan peralatan bernilai RM10,000 seorang.

Ahmad Jazlan yang juga Anggota Parlimen Machang berkata sekiranya tidak mempunyai sijil, belia yang berminat perlu memiliki pengalaman lebih 6 bulan yang disahkan oleh majikan atau ketua kampung di kawasan masing-masing.

Beliau berkata program berkenaan yang mula diperkenalkan tahun lepas mendapat sambutan baik dalam kalangan belia termasuk di kawasan pedalaman apabila disertai 500 peserta, dan 382 daripada jumlah itu berjaya menambahkan pendapatan dari RM1,000 kepada RM1,500 sebulan.

Katanya antara bidang keusahawanan paling popular ialah automotif apabila peserta dibekalkan sebuah motosikal dan sebuah kotak bagi mengisi barangan termasuk peralatan untuk membaiki motosikal rosak di kawasan pedalaman yang sukar dimasuki kereta.

Sementara itu, seorang peserta Nurul Wahida Mahmud, 23, yang memperoleh sebuah motosikal, berkata beliau akan menggunakan kenderaan itu untuk menghantar hasil jahitan baju dan kain tudung ke rumah pelanggannya di sekitar Machang.

Nurul Wahida, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berazam untuk mengembangkan lagi perniagaan itu menerusi tempahan dalam talian. — BERNAMA

Comments

comments