Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank Tingkatkan Industri Pertanian Hutan Melintang

Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank yang beroperasi di Hutan Melintang di sini sejak 2016 telah membantu mempertingkatkan industri pertanian serta perikanan di kawasan ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan pusat berkenaan juga dapat menggalakkan penduduk setempat menghasilkan produk hiliran berasaskan kelapa menerusi penggunaan teknologi terkini.

“Dengan adanya pusat ini, infrastruktur juga telah dinaik taraf, seperti pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Gajah dan Bagan Datuk serta pembinaan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat yang dijangka siap pada 2020.

“Institusi perbankan (Agrobank) itu melihat Bagan Datuk, yang dihuni lebih 100,000 penduduk itu, mempunyai potensi untuk lebih maju pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank Hutan Melintang di sini, hari ini.

Pusat Pembiayaan Komersil Agrobank Hutan Melintang yang mula beroperasi pada 16 Ogos 2016, merupakan pusat kedua di Malaysia selepas di Cameron Highlands, Pahang.

Ahmad Zahid juga berkata Agrobank perlu mengekalkan perkhidmatannya di situ supaya tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kawasan Bagan Datuk yang merupakan daerah baharu di Perak apabila ia membangun sepenuhnya.

Beliau berkata, Agrobank juga akan memberi peluang yang baik untuk nelayan tempatan lebih maju dalam sektor perikanan menerusi penyediaan pembiayaan.

Ahmad Zahid berharap Agrobank dapat menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan SME Corporation Malaysia bagi tujuan menyediakan pembiayaan kepada produk industri pertanian atau perikanan.

“Saya harap dengan adanya pembiayaan (kepada) tiga sektor utama ini (produk hiliran, pertanian dan perikanan) di samping pembiayaan hiliran yang lain, Agrobank mempunyai potensi lebih lama dan memperolehi keuntungan (bagi operasi) di Bagan Datuk, selain menjadi institusi bank paling ternama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pembukaan Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank di Hutan Melintang merupakan inisiatif strategik pihaknya kerana lokasi berkenaan mempunyai potensi dan peluang positif terutama dalam bidang perniagaan.

“Kawasan Hutan Melintang mempunyai potensi dan prospek perniagaan yang positif terutamanya untuk aktiviti berasaskan perikanan.

“Ia dapat dilihat pada prestasi perniagaan memberangsangkan (pusat itu) bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2017 yang merekodkan pembiayaan keseluruhan bernilai RM73.91 juta,” katanya.

— BERNAMA

Comments

comments