Bukan Saya Hamilkan Bekas Kekasih

Pelakon, Idris Khan, 29, menangkis khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan gosip aktor popular didakwa menghamilkan bekas kekasih.

Katanya, andai benar beliaulah lelaki yang dimaksudkan itu, tentu saja rancangan perkahwinannya dengan pilihan hati, Sanaa Jeljalane, pada 20 Januari depan akan tergendala.

Malah, Idris atau nama penuhnya Idris Khan Abdul Ghaffar Khan juga mengaku tidak sabar untuk mengetahui identiti pelakon dimaksudkan, sekali gus dapat merungkai spekulasi ramai.

“Siapa agaknya yang dimaksudkan itu? Saya pun nak tahu juga. Rasanya kalau betul aktor itu diri saya, memang sahih saya dan bakal isteri tidak jadi berkahwin.

“Apa pun, kami rancak mengatur persiapan pernikahan awal tahun depan. Kami pada awalnya merancang untuk mengadakannya tahun ini, tetapi disebabkan si dia berasal dari Maghribi, urusan dokumentasi agak renyah,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Idealyst Medispa Putrajaya.

Minggu lalu, menerusi laporan sebuah portal, seorang wanita berusia 20-an mendedahkan bekas kekasihnya yang juga pelakon melarikan diri selepas wanita itu mengakui hamil tiga bulan.

Wanita terbabit turut mendedahkan lelaki berkenaan enggan bertanggungjawab, malah sering mengelakkan diri daripada bertemunya untuk berbincang mengenai tanggungan kewangan ke atas bayi terbabit.

Sebaik saja berita itu tersebar, netizen mula membuat tekaan mengenai identiti aktor dimaksudkan, hingga mengaitkannya dengan beberapa nama termasuk Idris.

Pada masa sama, Idris yang tidak terkesan dengan khabar berkenaan mengakui lebih berdebar menunggu kehadiran bakal mentuanya ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat

Penerbit filem Gates of Lazuardi itu menyatakan, selepas dua tahun bercinta dengan bakal isterinya, baru kini beliau dapat bertemu buat julung kali dengan keluarga model terbabit. -BH ONLINE

Comments

comments