Ekspedisi Sungai Nil Diiktiraf MBOR

CABARAN berkayak oleh tujuh anak Malaysia di Sungai Nil sejauh 200 kilometer (km), 11 hingga 15 November lalu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Ekspedisi Pertama di Sungai Nil Secara Berkumpulan.

Sijil MBOR berkenaan disampaikan wakilnya, Nurasyikin Ramli kepada jurulatih pasukan, Muhamad Nur Azrul Che Zabani, sebaik pasukan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Ketua ekspedisi, Mohd Haniff Muhamad Zain berkata, pihaknya berdepan pelbagai cabaran termasuk berkayak dalam cuaca yang berubah mendadak serta berhadapan pusaran air di sepanjang Sungai Nil, Mesir.

Menurutnya, suhu mencecah 10 darjah Celsius pada sebelah pagi, panas pada suhu 34 darjah Celsius pada tengah hari dan kembali sejuk pada sebelah petang menyebabkan peserta ekspedisi terpaksa sentiasa berusaha menyesuaikan diri sepanjang berkayak.

“Kami berkayak lebih sembilan jam sehari dalam cuaca yang sentiasa berubah secara mendadak ini. Selain itu, air sungai itu juga sangat sejuk, berbeza dengan air sungai di negara ini ketika kami menjalani latihan.

“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya mengharungi semua cabaran itu berkat usaha dan semangat setiakawan,” katanya.

Ekspedisi berkenaan turut disertai dua peserta wanita termasuk wartawan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil.

Hasnida berkata, kejayaan itu sekali gus membuktikan tiada misi mustahil yang tidak boleh diselesaikan oleh kaum wanita.

“Sepanjang berkayak, kami menemui banyak pusaran air dan ini menyebabkan kami lebih berhati-hati supaya kayak tidak berpusing dan terbalik.

“Ahli pasukan lelaki juga tidak meninggalkan kami dan kami juga berusaha untuk sentiasa mengejar mereka supaya tidak ketinggalan dan melambatkan pergerakan,” katanya.

Majlis pengiktirafan itu turut disaksikan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Akmar berkata, kejayaan berkenaan adalah titik mula untuk rakyat Malaysia meneroka sukan lasak di benua Afrika, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membanggakan negara kita dan memberi semangat kepada rakyat Malaysia lain untuk mencuba pelbagai sukan lasak di benua itu.

“Apa yang penting, kita dapat menjulang nama Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mahu rakyat negara ini sentiasa berani menghadapi cabaran,” katanya. – HMETRO ONLINE

Comments

comments