Electro-Strips Kesan Bahaya Selekoh

Antara faktor penyebab kemalangan di selekoh tajam adalah kekurangan penglihatan (blind spot) dan memandu melebihi had laju.

Pada masa ini, selekoh tajam di jalan raya boleh diperhatikan hanya melalui cermin cembung untuk memberi amaran kepada pemandu di kedua-dua belah jalan.

Tidak ada keraguan berkenaan keberkesanan cermin cembung tapi masih ada kelemahan dan keterbatasan menggunakan alat itu yang masih boleh mengundang kemalangan.
Sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (IMechE) Universiti Teknologi MARA (UiTM) memutuskan mereka bentuk sistem baru menggunakan pengawal mikro untuk mengelakkan kemalangan jalan raya di selekoh terlindung itu.

Antara pendekatan mudah tapi berkesan termasuk jalur elektro dikenali Electro-Strips yang mengeluarkan lampu amaran apabila kenderaan dikesan dari arah bertentangan.

Pasukan Roadgineers IMechE berjaya merangkul wang tunai RM10,000 menerusi ciptaan Electro-Strips di cabaran #ShellSelamatSampai Varsity Challenge 2017 di Kuching, baru-baru ini.

Selain hadiah utama wang tunai, pasukan berkenaan turut membawa pulang trofi, pingat dan sijil.

Ketua Projek Muhammad Syakir Kamarul Zaman berkata, Electro-Strips adalah satu sistem yang dicipta bertujuan mengurangkan risiko kemalangan di kawasan selekoh tajam merbahaya.

Katanya, tujuan alat itu dipasang adalah untuk memberi amaran kepada kenderaan yang menghampiri selekoh berkenaan apabila ada kereta menghampiri selekoh sama dari arah bertentangan.

“Kami memilih untuk menjalankan projek ini selepas mendapati kawasan sasaran kami iaitu salah satu selekoh tajam dan berbahaya di dalam UiTM sendiri memiliki risiko kemalangan yang tinggi.

“Electro-Strips terdiri daripada dua subsistem. Subsistem pertama terdiri daripada sensor getaran (vibration sensor) dipasang pada jalur ‘rumble’ yang diletakkan di atas jalan.

“Apabila kenderaan melintasi ‘rumble strip’ itu, sensor itu akan mengesan gegaran lalu menghantar isyarat ke lampu amaran yang terletak di hujung selekoh berkenaan.

“Subsistem kedua pula terdiri daripada sensor pengukur kelajuan kenderaan bagi mengukur kelajuan dari arah bertentangan.

Sensor itu akan menghantar isyarat ke skrin LED yang terletak di bawah lampu amaran bagi menunjukkan kelajuan kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang media di Menara 1 UiTM Shah Alam.

#ShellSelamatSampai Varsity Challenge 2017 adalah suatu program kelolaan Shell Malaysia yang dianjurkan bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa universiti berkenaan pentingnya keselamatan jalan raya.

Setiap pasukan dikehendaki mencipta suatu produk atau sistem yang boleh meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Roadgineer disertai lima penuntut daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan seorang mentor daripada pihak Shell Malaysia.

Menurut Syakir, pasukannya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan sistem Electro-Strips itu dan memasang pada kawasan sasaran iaitu di Kompleks Kejuruteraan sejauh 20 meter dari selekoh.

“Kami memasang sistem itu di kawasan selekoh yang kami sasarkan selama lima minggu.

“Kami dapati pengguna jalan di kawasan sasaran mula mengurangkan kelajuan di kawasan kajian.

“Didapati kelajuan anggaran di selekoh pada asalnya berdasarkan tinjauan adalah 46.7 km/jam dan di minggu terakhir implimentasi projek, kami berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan itu secara purata kepada 24.2 km/jam,” katanya.

Syakir berharap projek Electro-Strips dapat dipasang di setiap kawasan selekoh berbahaya di Malaysia terutamanya jalan raya di kawasan bukit dan gunung.

Katanya selepas menyertai program #ShellSelamatSampai Varsity Challenge, mereka mula sedar berkenaan kepentingan mengutamakan keselamatan di jalan raya.

Mereka juga turut membuat pendekatan di beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan bagi mengembangkan lagi projek ini di seluruh negara. -HMETRO ONLINE

Comments

comments